Tuesday, March 24, 2009

Gantung Harakah dan Suara KeAdilan: Umno ‘betul’

Apa ni? Mengarut apa? Iya…saya berani kata, Umno betul. Ini pendapat saya. Tunggulah penjelasan dahulu. Jangan marah dulu. Jika Hj Hadi pun boleh bawa keluar idea ‘Unity Government’; takkan saya tak boleh?

Begini. Umno adalah parti yang memerintah. Umno adalah tulang belakang BN. Umno tumbang maka habislah BN. Umno lemah, maka habislah BN. Maknanya, Umno kena jadi kuat macam dulu-dulu. Cara bagaimana, ikut suka Umnolah!

Sungguh hari ini Umno dah tua, reput dan lemah. Tapi jangan lupa, Umno ada satu jalan keluar: KUASA! Mereka berkuasa ke atas PDRM, SPR, SPRM, RTM dan semua jabatan kerajaan. Maka, inilah jalan keluar mereka.

Apakah tidak bodoh namanya, jika anda ada pistol tetapi membiarkan sahaja kepala anda dipulas-pulas. Jika saya, ambiklah sahaja pistol tu, masukkan peluru dan tembak sahajalah!

Ha! Inilah yang Umno dah buat. Umno dah guna pistol, senapang, meriam hatta bom yang mereka ada. Mereka dah letih melawan cara ‘hujah.’ Media PR walaupun hanya bertaraf nyamuk; tapi nyamuk bukan sebarang nyamuk. Nyamuk Aedes yang boleh memberikan Umno demam Denggi dan Chikungnya. Lumpuhlah Umno. Matilah Umno.

Umno dari dahulu adalah parti pengecut. Mereka guna orang lain’ untuk membenamkan parti lawan. Jika ibarat budak-budak, bila berkelahi maka mak ayah yang dating bagi bantuan. Manalah larat lawannya…budak usia tujuh tahun nak berkelahi dengan dua orang dewasa berumur 37 tahun!

Tapi, saya ulang…BETUL cara Umno. Buat apa nak lawan berhujah jika memang dari dulu lagi mereka tahu, gerenti akan kalah. Buat apa nak lawan cara media, sebabnya Umno tahu makin lama makin sedikit orang yang percaya kepada media mereka. Buat apa nak lawan cara ‘gentleman’ dalam pentas politik, kerana Umno tahu rakyat majority dah buka mata nak tolak mereka.

Maka, KUASA sahaja yang tinggal. Umno ingat sangat lirik ANAK KECIL MAIN API. Sebab Umno yang cipta lagu tu. “KINI YANG TINGGAL HANYA KUASA.” Maka, Umno guna senjata akhir ini.

MALANGNYA kerana PAKATAN RAKYAT yang ada KUASA di beberapa buah negeri, tapi kelihatan amat ‘KECUT’ nak guna kuasa. Umno tak bayar Cukai Pintu pun, bagi peluang lagi. Umno ‘memberontak’ masa pemilihan AJK masjid pun, sabar lagi. Umno pegang kunci pintu dewan komuniti pun, sabar jugak lagi.

Umno pakai topeng PKR ke PAS, percaya juga lagi. Umno buat lembik tengkuk sikit, terus percaya. Orang PAS report ‘penyelewengan’ yang Umno buat dalam jabatan atau agensi kerajaan negeri, buat-buat tak nampak. Semuanya buat BODOH. Semuanya buat SABAR. Semuanya macam Tak RETI Bahasa!

Inilah KEDUNGUAN kerajaan PR. Takkanlah nak tunggu sampai jadi macam hari ini, baru terkial-kial. Sampai Anwar kena sembur. Sampai beratus orang kena tahan polis. Sampai nak berhimpun pun tak boleh. Sampai nak hantar memo pun kena balun.

Inilah CERDIK nya Umno dalam BODOH-SOMBONG mereka. Gunakan KUASA yang ada demi survival. Sebaliknya PR hanya nak simpan KUASA…ha, simpanlah…jangan simpan sampai HILANG KUASA. Masa tu…nangis pun dah tak guna!

Lihatlah mereka...

Kita ini makhluk
Sama sahaja dengan segala makhluk yang lain
Haiwan ternak maupun yang liar di hutan
Bezanya, kita diberikan akal
Sedang para haiwan itu hanya ada nafsu

Namun
Manusia hari ini ramai berpandukan nafsu
Nafsu untuk berkuasa
Nafsu untuk berharta
Nafsu untuk segala
Maka jadilah mereka seperti haiwan liar
Yang berpandukan nafsu semata

Dalam pada itu
Ada manusia menjaja diri
”Pilihlah saya, jangan pilih dia”
Tak cukup kempen, wang diberi
Tak cukup wang, ugutan diberi
Tak cukup ugutan, ada yang dibawa lari

Inilah kerjanya
Membutakan rakyat yang telah jaga
Menulikan rakyat yang sentiasa peka
Membodohkan rakyat yang telah bijaksana
Dengan gula-gula politik murahan mereka
Umpan projek sempena pilihanraya

Lihatlah mereka
Berhimpun demi menegakkan kepalsuan
Biar dunia menyatakan mereka sesat
Mereka kekal dalam taat
Mereka menjulang suara keramat
”Hidup Melayu dengan keris berkarat’
Walau anak bangsa menjadi bangsat
Dalam penagihan dadah dan berakhlak bejat
Peduli apa asal tertunai hajat

Kini mereka
Sedang asyik mengira laba
Sedang tekun menyusun strategi
Sedang ghairah ’membeli hati’
Sedang leka mengumpul undi
Sedang ghaplah menanti hari

Esok aku jadi Presiden
Lusa aku jadi Perdana Menteri
Tulat aku akan rombak kabinet menteri
Tunggeng aku akan tukar MB dan Ketua Menteri
Langgang aku rampas lagi negeri

Itulah
Bila mata hati sudah buta
Maka dia tidak fikir dosa dan pahala
Maka dia tidak hirau syurga dan neraka
Maka dia tidak ingat siksa kubur atau apa-apa

Kerana
Dia hanya ingat satu perkara
Presiden dan Menteri Perdana
Wang banyak dan singgahsana
Perempuan lawa dan harta benda

Lalu
Tenggelamlah dia dan mereka dalam syurga
Sedang di dasarnya adalah NERAKA!

Huzaifah Ahmad Yamani
Kuale,
23 Mac 2009 / 10.48 pm

Monday, March 23, 2009

Dalam suka ada duka


Sms bertalu-talu. Harakah digantung! Apa nak buat? Aduhai…saya bukannya Ketua Pengarang Harakah. Setahu saya, Cikgu Pa dahulu yang memegang permit Harakah. Tanyalah kepada Cikgu Pa. Tidak pun, Sms dan telefonlah Sdr Lutfi. Lutfikan Pengarang Harakah.

“Ini buah tangan pertama Najib.” Balas saya kepada banyak-banyak Sms tersebut.

Ya…apabila membaca tulisan Lutfi, saya sependapat 100%. Inilah kekejaman kebebasan media terlampau yang pernah dihadapkan kepada Harakah. Sungguh pun hayat perkhidmatan saya bersama Harakah tidak lama, tetapi hakikatnya akhbar berkenaan amat ‘menyengat’ kepada masyarakat.

Saya pernah suatu ketika dahulu, bersama-sama Sdr Azmi yang kini ditugaskan ke Harakah Terengganu, membuat liputan dan mewakili Harakah ke mana-mana persidangan media. Nak tahu, kami wakil Harakah amat dipandang mulia oleh wartawan media lain. Waktu solat, kami dikehadapankan sebagai imam.

“Harakah Islamik…” Kata mereka.

Apakah jadahnya maka arahan undur 100 tapak ke belakang itu dikeluarkan? Kerja siapa? Saya optimis, ini kerja Najib. Saya ulangi, saya yakin…amat yakin, ini kerja buat Najib.

Najib Toya ini memang manusia paling tak guna selepas Mahathir yang saya pernah jumpa. Jika Mahathir perosak institusi kehakiman negara; Najib pula perosak keamanan rakyat. Sejahat-jahat Mahathir, dia tidak pernah dikaitkan dengan insiden ‘pembunuhan.’ Tapi Najib, awal-awal lagi bau badannya penuh dengan hamis peluh gadis ‘Monggolia’ dan tengit C4!

Najib membawa petaka besar kepada Malaysia. Inilah adalah langkah awal yang saya yakini, kelak jika si haprak ini menduduki kerusi PM, makin banyak petaka akan dibawa. Sebab itulah, saya menegaskan apakah tindakan PR?

Namun, dalam kesedihan kerana mengenangkan Harakah dan juga Suara KeAdilan yang dipancung dan dikembirikan, hati saya berbalut kelegaan apabila YB Nizar diumum secara rasmi menjadi calon Parlimen Bukit Gantang.

“Alhamdulillah…”

Sedari awal, saya meletakkan calon sebagai favourite candidate saya, mengatasi yang lain. Apabila orang bertanya, jawab saya “Nizar.”

Nizar tak perlu diperkenalkan lagi. Wibawanya mengatasi sesiapa sahaja dari PAS di Perak hari ini. Saya yakin, insya-Allah…Nizar akan menang penuh kejayaan nanti.

Amin.

Sunday, March 22, 2009

Manikumar ‘an outsider’ candidate...apa salahnya?

Isu ‘orang dalam vs orang luar’ sudah lama…ia politik versi umno zaman dulu-dulu. Dunia politik dewasa ini bercitra baharu. Orang luar atau orang dalam bukan ukurannya; tetapi wibawa calon serta potensi diri yang mampu memberikan natijah maksima dijadikan sandaran. Pun begitu, kita cuba memahami nada beberapa orang ahli PKR di Bukit Selambau, bahawa priority sepatutnya diberikan kepada calon-calon lain. Namun, janganlah ketidak-puasan hati itu menyebabkan wujudnya konfrontasi berpanjangan. Dalam hal inilah, saya suka menyarankan agar ahli-ahli PKR berkenaan wajar menemui sendiri calon S. Manikumar. Adakan perbincangan dari hati ke hati. Rungkaikan persoalan dan kekusutan. Jernihkan perspsi dan kukuhkan perpaduan. Ingat, kita berhadapan dengan Umno @ BN demi sebuah perjuangan yang panjang. Kemenangan bagi PKR atau tepatnya S. Manikumar bermakna kemenangan rakyat di bawah nama Pakatan Rakyat. Besar impaknya. Ia menjadi baja yang memangkin terus pertumbuhan sokongan kepada PR. Jika pokok, makin lebatlah buahnya dan makin rendanglah daunnya. Makin ramailah orang yang mendapat manfaat. Inilah yang disebutkan oleh Datuk Hussam Musa. Kemenangan di tiga PRK di Malaysia pada 7 April ini, akan menjadi ‘pelaris’ kepada PR. Tidak mustahil selepas tarikh itu, parti-parti gabungan di dalam BN akan meninggalkan kapal BN yang kian karam. Sebab itulah kita mesti memenangkan PR. Atas premis di atas jugalah, maka sewajarnya isu perbalahan mengenai calon perlu dikurangkan. Jika Manikumar memenangi kerusi berkenaan, maka dia bukan sahaja bertanggungjawab terhadap para pengundi di sana; bahkan seluruh rakyat Kedah. Saya yakin, beliau tidak akan mensesiakan amanah tersebut. Lebih daripada itu, PR sendiri amat memerlukan pengundi muda yang ketrampilannya diterima segenap lapisan masyarakat. Manikumar mewakili citra anak muda kontemporari yang versatile tetapi jelas dasar perjuangannya. Dia nampak ranggi kerana dia anak muda; tetapi jiwanya adalah jiwa rakyat. Ini yang penting. Dan saya juga yakin, tatkala panel penapisan PKR memilih calon, sudah pasti wujudnya criteria tertentu dijadikan ukuran. Bodohlah jika sengaja memilih calon yang akan meranapkan mood rakyat dan bengaplah Anwar jika sengaja mencari individu yang tidak boleh mewakili parti. Akhirnya, saya menyeru pengundi di Bukit Selambau, utamakanlah perjuangan PR. Jika anda terlalu ‘berpolitiking’; maka ia hanya akan memenangkan BN. Jika anda mahu BN menang, maka apa ke halnya anda bersusah-susah duduk di dalam PR…sedangkan ‘kapal reput’ BN menanti anda…eh…’kapal reput’ BN…tak mahulah saya!

Saturday, March 21, 2009

PKR dalam kegetiran, apa tindakan PAS dan DAP

Saya sebenarnya kasihan kepada PKR. Parti yang amat muda ini sebenarnya, bagaikan tidak begitu bersedia mengisi kemenangan luar jangka. Saya akur bahawa, mengejar kemenangan itu lebih mudah daripada mengisi dan mengekalkannya.

Terkini, kita dikejutkan dengan insiden perletakan jawatan TKM 1, YB Fairus. Sdr Lim Guan Eng mungkin mengetahui hal sebenar di sebalik perletakan jawatan berkenaan, kendatipun Anwar Ibrahim mengatakan Fairus mahu menyambung pengajiannya.

Hmm...Fairus ni bukanlah calangan orang. Beliau bagi saya, sudah pun memiliki wibawa akademik yang tinggi. Memiliki ijazah dalam bidang politik, dua ijazah sarjana dalam bidang pertahanan dan pengurusan strategik dari UK serta sijil syariah...isk...isk...this is not play-play, apa lagi yang kurang?

Saya terbaca satu artikel di the Malaysian Insider, ringkasnya tulisan berkenaan menyingung situasi kurang menentu dalam negeri-negeri Pakatan Rakyat adalah berpunca dari PKR.

Saya tidak mempercayai artikel ini 100%. Ia mungkin salah satu sebab, tapi bukan dominan. Faktor ’tekanan’ BN juga amat besar.

Namun, pahit disebut tapi ia menjadi ubat bagi PR, bahawa sesuatu yang really constructive should be taken to strengthen PKR. Sosok Anwar memang sudah berwibawa, tetapi mereka yang lain.

Oleh itu, apakah role yang boleh dimainkan oleh sahabat-sahabat PR, iaitu DAP dan PAS? Takkanlah sekadar melihat sahaja. Maka, berilah bimbingan dan nasihat.

Sementara itu, PKR kena bersifat lapang dada dan menerima penambah baikan yang dibawa. Memang ia agak menyakitkan; tetapi penting demi kebaikan semua.

Wallahua’lam.

PAS parti juga jamaah: Kena belajar cara rasulullah…


Apabila saya membuat posting ’PAS kena belajar daripada sejarah’, ramai yang memberikan pendapat (klik di http://perakexpress.com/). Saya bersifat ’open’ walau ada yang tuduh saya ’mengarut’ dengan menghasilkan penulisan berkenaan.

Saya tidak tahu orang lain, tapi saya pernah melalui marhalah tarbiyyah yang dilagang oleh PAS. Setiap orang dalam PAS, yang diiktiraf sebagai jamaah Islam atau Harakah Islam, mesti meletakkan diri di bawah jamaah. Ketaatan kepada jamaah yang meletakkan al-Quran, al-Hadis, Ijmak dan Qiyas sebagai induk perundangan.

Dalam PAS memang ada konsep wala’, iaitu ketaatan. Ahli mesti mentaati pemimpin. Pemimpin pula mesti mentaati Allah dan rasul. Dalam konteks inilah, Presiden ataupun Mursyidul Am PAS sendiri tertakluk kepada Allah dan Rasul.

Al-Quran dan as-Sunnah menjadi tali pengikat ketaatan mereka. Jika kepimpinan sendiri tidak mentaati al-Quran dan as-Sunnah, maka ahli berhak mempertikaikan mereka. Justertu itulah, dalam PAS bukan seorang dua pemimpin yang lari dari landasan perjuangan, ’terkeluar’ tanpa ditangisi pun oleh majoriti ahli PAS.

Apa yang berlaku kepada Hj Nakahie Ahmad bahkan kepada Datuk Asri Muda, adalah bukti nyata. Ahli-ahli PAS yang meletakkan pra-syarat ketaatan kepada al-Quran was sunnah tidak akan mentaati pemimpin yang engkar dan tersasar.

Hari ini, kita berhadapan dengan isu-isu baharu yang sebenarnya sudah dilalui pun sebelum ini, sama ada oleh batang tubuh PAS sendiri ataupun harakah Islam yang lain di dunia ini.

Ramai juga ahli dan pemimpin PAS yang menjadikan Ikhwanul Muslimun di Mesir sebagai idola, namun jangan lupa...mereka antara gerakan Islam yang ditindas begitu teruk oleh rejim sekular. Saya hanya ingin menanyakan satu soalan, bolehkah gerakan Islam mempercayai rejim sekular?

Hamas di Palestin pernah memeterai persefahaman dengan Fatah @ PLO, namun apa kesudahannya? Hamas ditindas lagi dan lagi oleh PLO yang lebih disenangi oleh US, kerana ke’sekural’an mereka.

Juga saya ingin mengajak anda meneropong ke Indonesia, di sana juga wujud gerakan Islam yang mahu syariah terlaksana 100%. GAM misalnya, namun pasca perjanjian dengan kerajaan yang ada, yang meletakkan Panca Sila sebagai asas negara, apa perkembangan Acheh sekarang? Sudahkah ia benar-benar menjadi darul Islam sebagaimana yang diidam-idamkan oleh pengasasnya dahulu?


Sebab itu PAS (pemimpin dan ahli) kena studi cara rasulullah melagang perjuangan...semua ini tertulis dalam kitab seerah karangan Hj. Hadi...dan saya yakin beliau takkan melupakannya.

Dan saya bukanlah terlalu pesimis dengan inisiatif cetusan Hj Hadi ini. Saya yakin, beliau pasti sudah membuat kajian, renungan bahkan istikharah dalam memberikan pandangan. Namun, PAS adalah jamaah Islam. Ia bukan berdiri dengan kekuatan seorang; tetapi semua ahlinya.

Maka, di sinilah rasionalnya kenyataan Nik Aziz sebagaimana yang diuar-uarkannya sebelum ini.

Wallahua’lam!

Thursday, March 19, 2009

Mahathir, Mat Taib, Muhyidin, Ku Li dan Zaid...bergasak le mike ye...


“Apa yang tinggal, ialah orang yang tak reti baca Inggeris. Tu sebab dia kena tangkap di Australia, gagal isytihar bawa duit RM2.4 juta, tapi lepas sebab alas an tak reti baca bahasa Inggeris.”

Ini adalah petikan kasar saya terhadap kenyataan Tun Mahathir mengenai Muhd Taib. Saya dah kata lama dah, Mat Taib ni dah expired, dah ketinggalan banyak bende, tapi Pak Lah lantik juge dia jadi menteri.

Mahathir nampaknya malas dah nak berselindung lagi. Dulu, nampak macam malu-malu aje, tapi le ni dia dah ’declare’ dia sokong Muhyidin. The question is...bersih sangat ke Muhyidin.

Ah...pedulikan isu bersih. Ikutkan saya, mana ada orang dalam Umno yang bersih...inikan pula pemimpin. Muhyidin memang le nampak cam bersih je...tapi saya yakin ’kekotoran’nya akan keluo tak lama lagi.

Sah lah kini bahawa, suatu strategi terancang sedang berjalan untuk memastikan Najib menang dalam keadaan selesa. Bermula dari Timbalan Presiden Umno hingga le ke ketua pemuda dan wanitanya.

Cerodik betul Najib ni...sebab tu le puak-puak Umno semua dibelasahnya. Nasib baik aku orang PAS...tidak le aku jadi mangsa Najib tak guna ni!

Namun dalam masa yang sama, dua tokoh ’out spoken’ dalam Umno, iaitu Ku Li dan Zaid nampaknya menjadi saingan kepada Mahathir.

Zaid secara ’open’ menyerang Najib...hai...janganlah Najib anto bom C4 ke rumah Zaid sudah le.

Ku Li pula konsisten dengan ideanya untuk memulihkan Umno. Kini dia mempertikaikan keputusan lembaga disiplin umno yang dilihatnya bersifat ’pilih bulu’.

Ha...ha...aduhai, berlagalah segala angin dan puting beliung dalam Umno. Ranaplah umno lepas Mac 2009 ni...ranaplah hendaknya, amin.

Gerakan Islam Seperti PAS kena belajar dari sejarah


Lama dulu, saya pernah menekuni kitab-kitab kuning di sebuah pondok. Muallim saya datang dari Indonesia. Saya masih ingat, beliau menceritakan kehebatan perjuangan yang digagaskan oleh Pak Natsir. Sayangnya kata beliau, Pak Natsir yang hebat itu diperalatkan oleh Rejim Soekarno. Dengan berlindung di sebalik batang tubuh Pak Natsir, mereka merobek kekuatan gerakan Islam di Indonesia (yang saat itu sedang berjuang demi Negara Islam Indonesia).

Kita juga jangan sama sekali lupa, saat Peperangan Siffin sedang memuncak, kala itulah tentera Muawiyah bin Abi Suffian menjulang al-Quran yang dicucuk dengan tombak ke udara. Muslihat itu terjadi hingga tentera Imam Ali terbelah dua. Akhirnya Ali tewas dalam kemelut politik lewat Majlis Tahkim di tangan Amru al-Asy...sayang Ali, khalifah umat Islam yang diisyaratkan gerbang ilmu oleh rasulullah kalah pada Muawiyah.

Saya juga rasanya kita tidak patut lupa saat Regim Mesir di bawah Gamal Abdel Nasser digempur Yahudi-Israel, maka Ikhwanul Muslimin mengangkat senjata. Tercatat dalam sejarah, mereka mampu mengalahkan Yahudi itu akhirnya. Namun hingga kini, apa nasib Ikhwan di sana?

Begitu juga saat peperangan Mujahidin Afghanistan menewaskan Russia dan kerajaan Boneka, mereka mendapat dokongan ribuan jiwa mujahidin dunia. Akhirnya, ke mana pergi Gulbudin Hekmatyar dan ramai lagi jundullah di sana? Apa kesudahannya Afghanistan?

Apa yang saya paparkan di atas sebenarnya, untuk mengajak para pemimpin PAS yang diiktiraf dunia Islam sebagai Gerakan Islam, agar mencongak kembali untung rugi apabila berfikir mahu bersama Umno.

Saya naik muak dengan ungkapan kita mesti ’bertasamuh’ dan ’berlapang dada’ dengan Umno, demi kebaikan umat Islam dan rakyat Malaysia. Ingatlah, PAS hari ini berdiri kukuh adalah kerana kezaliman Umno. Kerana sifat dan sikap Umno, rakyat mengalihkan sokongan kepada PAS.

Jika nak dikatakan faktor PAS itu sendiri, sukar dibuktikan. Ini kerana, puluhan tahun PAS berjuang, adakah perjuangan PAS selama ini salah? Tidak, tetapi ketika itu rakyat masih yakin dengan Umno. Kini, bila rakyat dah membenci dan meluat dengan Umno dan menyatakan sokongan dan harapan kepada PAS, eh...eh...PAS pulak nak berbaik-baik dengan Umno.

Saya setuju dengan pendapat ramai pihak, Umno adalah parti yang istiqamah dengan ’taksub’ mazhab ’perkauman’ mereka. Umno adalah parti yang iltizam dengan usaha mengayakan kroni. Jangan lupa, Umno sejak dari pra merdeka adalah parti warisan penjajah yang istiqamah menekan musuh-musuh politik mereka.

Jadi...tak cukupkah dengan semua ini? Lantak ke mike le yeob, teman udah kabo...jangan mike kate teman ni menting diri, teman sayangkan jemaah sebab itu teman bersuare ghupe ini!

Wednesday, March 18, 2009

Unity Govt...second opinion towards Zul Sulong's thought...

Membaca catatan Zulkifli Sulong, memberikan kita perspektif baharu terhadap lanskap politik semasa. Benar, suatu pendekatan lain wajar dicari dalam kemelut politik yang tiada sudahnya. Ia meletihkan! Sayangnya, pendekatan itu dilihat agak ‘berliku’ dan ‘kompleks’sekali.

Umno sebenarnya adalah liability. BN mendapat liability itu kerana Umno menjadi tulang belakangnya. Di dalam BN, bukan tiada suara yang lebih rasional mendepani perubahan minda dan ‘mood’ rakyat; namun suara itu ghaib dek kerana Umno.
Parti Gerakan misalnya, terus-terang mahukan suatu perubahan. Hapuskan ISA misalnya, ia sealiran dengan citra rakyat. Namun, Umno menidak dan menghilangkannya begitu sahaja. Itu baru satu contoh mudah dan sebab itulah saya optimis bahawa, Umno adalah liability kepada semua pihak jika mendampinginya.
Kini, dalam keadaan Umno yang nazak dan bergantung kepada talian hayat yang juga makin nazak, maka PAS dilihat mahu memberikan suatu ‘suntikan’ baharu kepada Umno. Sebab itulah, ia mudah ditafsirkan ‘negatif.’ PAS dipandang negatif bukan sahaja oleh rakan PR seperti DAP; tetapi juga oleh rakyat yang mengundi.
Ini adalah liku pertama yang terpaksa dilalui oleh PAS. Bahkan saya percaya, kenyataan oleh DAP menerusi Lim Guan Eng baru-baru ini juga adalah suatu riak tidak puas hati. Beliau mempersoalkan idea ‘penyatuan pelbagai parti demi sebuah kerajaan’ itu tidak dicetuskan oleh Hj Hadi di dalam mesyuarat tertinggi PR.
Ini juga adalah suatu liku yang PAS harus tangani. Apabila ‘bermadu’ di dalam sebuah rumah, maka setiap kata dan laku hendaklah dijaga. Saya tidak fikir idea itu harus terpancut begitu sahaja, melainkan ia patut dimurnikan terlebih dahulu. Mungkin Hj Hadi dan Anwar mempunyai sesuatu agenda; namun ia tidak wajar membelakangkan DAP.
Di samping itu, jika PAS serius dengan idea pembentukan kerajaan perpaduan, maka apakah ‘master plan’-nya. Apakah ‘grand design’ nya? Rakyat Malaysia khususnya ahli-ahli PAS yang sempat ‘berkongsi’ rumah dengan Umno semasa menyertai BN suatu masa dahulu amat merasa perit sekali dan itulah yang dibayangkan oleh Nik Aziz. Itu juga adalah suatu liku yang wajib ditangani PAS.
Oleh itu, suatu perancangan rapi terhadap idea berkenaan hendaklah diwujudkan. Sudah pasti ia melibatkan rombakan besar-besaran dan sudah pasti ada kalangan menteri, timbalan menteri daripada BN yang akan ‘terpelanting’. Nah…ini juga adalah liku-likunya. Bersediakah mereka melepaskan kuasa?
Kemudian, bagaimanakah PAS dan kerajaan perpaduan yang ‘bakal’ wujud mampu memadukan kabinet baharu yang mengisi pemimpin PR dan BN sebagai ‘satu’? Adakah tiada jaminan wujudnya ‘perebutan’ di kalangan PR dan BN. Atau juga di kalangan PR sendiri?
Bagaimana dengan pengisian dalam portfolio utama, menteri kewangan, pertahanan, pendidikan dan wanita misalnya. Bagaimanakah kita mahu dan mampu mengimbangkan pengaruh di antara PR dan BN.
Ini semua adalah liku-liku yang perlu ditangani sedari awal. Ini kerana, kita tidak mahu, rumah siap pahat berbunyi. Melentur ahli dan pemimpin PR sendiri sukar dilakukan; apatah lagi jika menterinya PR dan timbalannya BN…bayangkanlah!
Namun, saya tidak pesimis dengan idea Hj Hadi ini. Ya, gagasan yang dilontarkan adalah baik. Ia murni sekali, demi kemaslahatan rakyat. Memang menjadi polisi PR pun membuat sesuatu demi rakyat. Namun, hendaklah idea ini diperdebat dan diperhalusi secara matang, khususnya kepada PR sendiri.
Teringat saya pepatah orang tua, terlajak perahu boleh diundur; terlajak kata buruk padahnya. Namun, jika ruyung tidak dipecahkan; masakan kita merasa enak sagunya untuk dimakan.
Wallahua’lam.

Tuesday, March 17, 2009

Akhirnya Muhyidin Berterus-terang


Apabila ura-ura Lembaga Disiplin Umno mahu mengumumkan sesuatu, ramai orang sudah mampu menghidu keputusannya. Akhirnya…kasihan Ali Ketam. Gigit jarilah nampaknya nak jadi Timbalan Najib Toya. Itu pun jika Pak Lah tak ubah minda saat akhir.

Muhyidin dengan yakin menegaskan, beliau jauh lebih layak daripada dua orang pencabarnya. Jika ditara-bandingkan dengan Muhamad Taib pun...jauh lagi kelebihan Muhyidin. Memanglah, Mat Taib kan dah ’expired’...sudah lama jadi surat kaba lama ma...

Saya juga tertarik apabila KJ hanya dikenakan ’amaran’. KJ mungkin tersenyum girang, kini dia boleh meneruskan agenda menguasai Pemuda Umno. Saya sendiri terfikir, takkanlah menantu PM ini yang dahulunya terkenal ’very smart’ boleh menyerah kalah dengan mudah kepada geng-geng Najib Toya.

Kini, kita tunggu sahajalah apa yang akan berlaku seterusnya. Saya yakin, Ali Ketam dan geng-gengnya pasti disampuk jin tanah dengan keputusan ini. Bak kata pepatah Melayu...hajat di hati nak gapai awan; rupanya cucor atap pun tak sampai. Kasihan mereka.

Itulah Ali Ketam, jangan terlalu suka menghentam ulama’ dan membelasah orang...kan dah malu sendiri.

Tapi, musykil saya apabila Khir Toyo peminat tempe tak de pule tersangkut dengan apa-apa pertuduhan. Bersih sungguh mamat tempe ni. Punya banyak bahana yang dia galas, macam belut juge rupenya...asyik terlepas sahaja.

Tapi, kini Khir tak boleh tido lena. Di Selangor, makin hari makin banyak kisah dalam ’kainnya’ yang terbongkar keluar. Makin lama makin terlondeh seluonya. Makin lama makin terselak kelambunya. Baru dia sedar, orang yang bersalah dengan manusia pun Tuhan marah; apatah lagi jika sampai menzalimi orang dan mengingkari perintah Tuhan.

Khir kini dalam kepanasan. Mandi pun ayo sejuk jadi ayo gelegak. Makan pun dah tak ade selera, tumpo je...tengak bini pun gamaknya dah tak semangat. Yelah...bini dia pun kena panggil untuk disiasat...sapa suruh pi gagah transfer duit Balkis senang-senang. Kan dah kena!

Monday, March 16, 2009

Berani sungguh Pak Samad


Saya meminati banyak karya Pak Samad. Setipis novelnya (Di hadapan Pulau) sehinggalah setebal-tebalnya…Salena…A. Samad Said adalah perakam waktu sejarah dalam dimensinya tersendiri.

Hari ini, A. Samad Said ‘mencemar’ imej ‘non-partisan’nya apabila mulai menunjukkan sikap kepedulian yang tinggi kepada isu bahasa. Ya, bahasa Melayu yang kata Hishamuddin ketua pemuda Umno… “Saya tidak sanggup menggadai bahasa dan nasib anak bangsa kita…”; namun pada masa yang sama dinafikan hak bahasa Melayu dan anak bangsa menekuninya di sekolah.

Kita semua sedar, agenda di sebalik perjuangan Pak Samad. Tiada nawaitu lain; bahkan beliau adalah pencinta bahasa Melayu yang sejati. Beliau berulang-kali menegaskan, bahawa sisa-sisa usia yang ada padanya akan dimanfaatkan untuk mengangkat kembali nasib bahasa Melayu.

Umno khususnya kepimpinan mereka berulang kali mengulang kalimah kebodohan, bahawa tokoh-tokoh bahasa dan sastera Melayu ini diperalat oleh pihak tertentu. Pihak manalah lagi jika bukan parti-parti yang berlambangkan bulan dan mata.

Namun mereka lupa, budaya memperalatkan pihak lain sebenarnya adalah budaya Umno. Siapakah yang memperalatkan pihak istana, polis, SPRM, SPR dan seluruh jentera kerajaan jika bukan Umno. Ini fakta bukan auta. Hanya budak belum mumaiyiz sahaja dapat dikelentong oleh Umno.

Bagi saya, Pak Samad adalah teramat cerdik untuk diperalat, maka beliau dimanfaat. Takkanlah Hishamuddin seorang menteri kepada para cikgu tak reti membezakan antara diperalat dan dimanfaat. Ataupun, dia jadi bebal dek kerana keangkuhan dan balasan Tuhan kerana suka menderhaka kepada bahasa dan bangsa sendiri! Lebih dahsyat kerana menderhaka kepada para maha guru bahasa Melayu.

Ha, ambik…di dunia lagi Tuhan dah kasi balasan!

Apabila seorang tua seperti Pak Samad menegur dengan berani, pastilah ada sebab yang kukuh. Puluhan tahun dulu, Pak Samad tak pernah sekali pun muncul di atas pentas politik…apatah lagi di sisi parti-parti yang dilabelkan ‘pembangkang’. Kala itu, Pak Samad nampak seakan memesrai parti-parti kerajaan.

Namun, semua itu dibuktikan tidak menjadi ‘pengikat’ kepada beliau. Siapa juga jika sudah terseleweng, maka hendaklah ditunjuk ajar. Walaupun namanya Pak Menteri atau siapa sahaja. Saya yakin, jika Anwar dan Hj. Hadi sendiri bersikap wewenang dengan bahasa Melayu, maka Pak Samad tidak segan silu akan menegur juga.

Inilah sikap Sasterawan Melayu sebenar. Menegakkan kebenaran bukan sekadar di dalam plot cerita novel dan cerpen; bahkan di alam nyata. Saya teringat salah sebuah karya Pak Samad, Daerah Zeni, adalah lakaran perjuangan bangsa melawan penjajah.

Mungkin kini, Lazri Meon si petapa tua dalam plot Daerah Zeni menjelma pada sekujur tubuh tua Pak Samad. Maka ungkapan Lazri Meon “aku akan menembak kepala si penjajah tepat di antara dua matanya”, kini menjadi ratib Pak Samad. Bezanya, sasarannya kini bukanlah penjajah sebaliknya warisan mereka yang tega membiarkan minda dipasung dan dijajah!

Siapa yang tidak teruja jika Pak Samad tanpa segan lagi silu menganjurkan Bahasa Undi sahaja dapat menyentak penutup pemikiran pemimpin Umno. Bahkan, kenyataan lebih pedas bahawa “undilah siapa sahaja selain Umno” benar-benar menjadi peluru senapang patah Lazri Meon yang merobek otak, hati dan usus para pemimpin Umno.

Maka, tidak hairan jugalah Hishamuddin bagaikan anak kecil yang menangis dengan perkembangan mutakhir ini. Kasihan…teringat saya watak kanak-kanak bernama Aziz di dalam novel Pak Samad ‘Di hadapan pulau’. Aziz terus termakan umpan untuk dibawa ke pulau di hadapan kampungnya…begitulah Hishamuddin, tak sedar bahawa nasibnya kini kian di hujung senja terus dipergulakan oleh pihak lain sehingga dia alpa nasibnya kini sudah tidak kemana.

Sepatutnya, para ahli Umno yang mengaku Melayu merasa malu, kerana mereka merestui segala tindakan jahat pemimpin mereka. Atas nama apa sekali pun, menafikan hak bahasa adalah satu jenayah. Sehingga kini, semua ahli Umno bersubahat melakukan jenayah bahasa dan bangsa di Malaysia. Sebab itulah mereka dihukum lagi dan lagi oleh mahkamah rakyat. Sayangnya, mereka terlalu ‘ghalit’ dengan kekuasaan yang berbaki, hingga sanggup mengabaikan peringatan demi peringatan yang diberi.

Kita tidak tahu apa lagi akan terjadi selepas ini. Situasi pasca 13 Mac 2008 nampaknya benar-benar tsunami yang terus melanda. Kini, 7 Mac 2009 ia bersambung lagi dengan tsunami bahasa. Mungkinkah tsunami berikutnya akan melenyapkan terus Umno dari atas dunia ini? He…he…biarkanlah luncai terjun dengan para labunya…

Friday, March 13, 2009

Umno mendungukan sesiapa sahaja yang mendekatinya

Seorang kenalan di Ipoh menghantar SMS… ‘Tugu Demokrasi Diroboh!’ Kecik hati saya…dalam diam-diam…terbit perkataan… “Celaka sungguh Umno ni!”

Saya memang malas nak dengor berita radio atau tengok berita di TV atau baca akhbar perdana. Pasai apa…sebab semuanya berita yang dipaparkan, boleh menyebabkan emosi saya terganggu. Menyebabkan saya jadi radang dan bengang. Menyebabkan saya mula marah-marah.

Apalah salahnya ‘Tugu Demokrasi’ itu. Apakah mereka begitu iri dan dengki, waima apa-apa sahaja yang berkaitan dengan MB Nizar atau Pakatan Rakyat, maka ia kena dihapuskan.

Tepatlah kata seorang kawan, manusia secerdik Zambry pun boleh jadi bodoh dan dungu bila bersama dengan Umno. Dahulu, saya memang suka menyebut perkataan ini. Misalnya, Rais Yatim yang cerdik pun jadi bodoh bila duduk dalam Umno. Tinggal Tengku Razaleigh je masih dok ada cerdik sikit-sikit.

Kemudian, waktu bersarapan pagi di sebuah gerai bawah pokok, saya terpandang muka hadapan Harakah. Gambar Demo Anti PPSMI. Kelihatan Datuk Samad Said, saya membaca apa katanya: “Saya dituduh menjadi alat; sebenarnya saya dimanfaat!”

Inilah ucapan orang cerdik. Bukan seperti Umno, jika kenyataan menegur sedikit sahaja, maka dianggap orang itu menentang mereka. Takkanlah manusia setua A. Samad Said, sudah menulis puluhan buku bahkan antara sasterawan Melayu yang fasih berbahasa Inggeris, sanggup dirinya menjadi alat golongan yang bukan-bukan. Beliau bukanlah budak hingusan yang tak habis mengaji di universiti. Taraf beliau bahkan lebih hebat daripada ramai profesor di universiti, kerana ramai juga professor yang sanggup menipu diri demi periuk nasi.

Saya juga merasa pelik dengan kenyataan doctor gigi yang kini menuduh wujudnya komplot menjatuhkan beliau menjelang Perhimpunan parti paling hampeh dalam dunia…umno.

Ceh…sapa la yang teringin sangat nak sabotaj. Kemudian, dia minta SPRM tangguhkan siasatan sehingga selepas pemilihan umno. Punya la dungu pakcik doktor gigi peminat tempe ini...apa ingat SPRM ini perkakas Umno ke...SPRM adalah bebas dan bertanggungjawab kepada negara. Tapi...bila tengaaak wajah Said yang anaknya ditangkap di Australia...munasabahlah Khir Toyo minta ditangguhkan siasatan.

Kini, saya teruja pula dengan pembentangan Bajet Mini yang Najib Toya bentangkan...kelakor juge dengan berbillion yang dijanjikan...Cuma teman mikio, yang Najib amik RM7 billion dulu tu, mane peginye...?

Aisyeh man...how do u do...

Tamsilan mudah seorang Tuan Guru:

“Kita mengajar budak-budak solat guna bahasa Melayu; nanti mereka solat dalam bahasa Arab. Demikianlah, ajar anak-anak sekolah matematik dalam bahasa Melayu, baharulah mereka mudah nak faham.”

Mudah dan jelas apa yang dikatakan oleh Tuan Guru Hj Hadi Awang. Tak tahulah saya, jika orang-orang Umno khususnya para tok dalang mereka ni tak reti bahasa Melayu. Maklumlah, deme mengaji di UK dan speaking London.

Ada cikgu yang saya tahu dia memang menyokong Umno, mempertahankan PPSMI. Katanya, eloklah dasar tu dipertahankan. Buat apa buat sekerat-sekerat.

Saya malas nak menempelak sama ada cikgu berkenaan atau mana-mana orang Umno. Tapi saya yakin 100%, jika saya challenge cikgu berkenaan membaca jawi (bukan baca al-Quran), gerenti kantoi punye lah...

Itulah dia Umno...masih nak berlagak lagi tu. Tak sedor diri langsung puak-puak ni. Mengaji quran pun pelat, membaca jawi pun gagap...belum suruh buat kali-kali dan darab bahagi dalam bahasa Inggeris lagi...pun nak berlagak mempertahankan bahasa Inggeris.

Semasa dalam sebuah seminar bersama firma audit di Lembah Kelang, saya diberikan sedikit peluang menerangkan kaedah-kaedah Islam meraikan kewangan. Saya dan sahabat membentangkan kertas kerja dalam bahasa Melayu. Bila habis, kami berkomunikasi dengan audiens.

Mereka bertanya bermacam-macam perkara. Sebelum penutup, saya menegaskan yang mereka bernasib baik kerana saya dan sahabat memberikan penerangan dalam bahasa Melayu, bukan Inggeris atau Arab. Jika tidak, mereka mungkin tidak faham...silap hari bulan, kami yang membentangkan pun tak faham.

Maka, kata saya...demikianlah nasib anak-anak kita di sekolah dan juga guru-guru mereka. Mereka dipaksa berbahasa Inggeris untuk memahami suatu ilmu yang sukar. Jika ibu bapa sendiri berasa sukar memahami ilmu taharah jika diajar dalam bahasa Arab, maka bagaimana pula ilmu yang bersifat konseptual dan formula seperti matematik dan sains?!

Saya juga merasa jengkel, apabila beberapa pemuka Umno bermati-matian mempertahankan bahasa penjajah ni. Hee...ikut hati, teman nak sambekan aje mulut deme tu. Makan pun belacan dan petai jering, sedar le diri awak tu Melayu.

Ini soal prinsip, soal dasar. Perlembagaan Malaysia jelas memberikan kedudukan tinggi kepada bahasa Melayu. Yang peliknya, parti Melayu yang paling ’power’...kononnyalah, tak sedor dah tinggai dahan kurus yang nak patah, akar umbi pun dah goyah...akor tunjang dah putuih...masih nak pertahankan.

Kita tunggu le...tak lame dah. Lepas ni, deme semuanye akan tersungkor ke bumi...bersama-sama pokok Umno mereka yang dah reput dan pemimpin mereka yang suka mengarut...masa tu bila kite jumpe puak-puak ni, kita kate ape ke demer...

”Aisyeh man...how do you do, ayam tak patuk itik tak sudu...ana belah dulu...”

Tuesday, March 10, 2009

Nik Aziz dalam dakapan rindu...

Pemimpin yang adil amat dikehendaki
Penyelamat ummah dunia dan akhirat
Tanpa keadilan dunia akan huru-hara
Pemimpin menanggung dosa rakyatnya

Pemimpin yang adil orangnya tawadhuk
Sangat sayang pada rakyatnya
Rakyat diajak mentaati Allah

Pemimpin yang adil mengutamakan akhirat
Menyelamatkan rakyat dari tipu dunia
Akhlak yang tawadhuk pakaian dirinya
Rakyat sayang bukan takut padanya...

Demikianlah antara bait-bait lagu nyanyian kumpulan Nada Murni suatu masa dahulu. Entahlah mereka menujukan kepada siapa ’pemimpin’ berkenaan, namun yang utama ialah isinya amat menarik sekali.

Saya tak tahu siapa yang mencipta lirik di atas. Ia bukan sekadar puitis; namun memberikan panduan berguna buat kita, sama ada mahu menjadi seorang pemimpin mahu pun semasa kita memilih pemimpin.

Semasa itu, saya di tahun-tahun awal pengajian di kampus. Amat terkesan dengan lagu berkenaan, menyebabkan saya sentiasa membanding-tarakan watak pemimpin bayangan tersebut dengan pemimpin-pemimpin yang ada di hadapan mata.

Satu-persatu senarai pemimpin itu saya bandingkan, dan satu demi satu juga saya sisihkan mereka ke tepi. Hinggalah akhirnya, saya temui sedikit sebanyak watak-watak itu pada diri Tuan Guru Nik Aziz...ya, beliau mempunyai ciri-ciri pemimpin yang digambarkan.

Wataknya amat sederhana, sering menasihati rakyat jelata tentang dosa dan pahala, adil dalam menunaikan amanah kuasa, tawadhuk tiada ego lagi takabbur dengan kuasa, mengutamakan akhirat berbanding dunia, baik akhlak lagi terpuji peribadinya dan pelbagai lagi ciri-ciri utama pemimpin bayangan yang sentiasa didambakan manusia.

Nik Aziz hakikatnya bukan sahaja disayangi oleh rakyat Kelantan, bahkan seluruh Malaysia. Ke mana sahaja beliau pergi, rakyat berbondong-bondong mendampinginya. Melihat wajahnya sahaja sudah menenangkan hati dan memberikan suntikan motivasi. Mendengar suaranya sahaja sudah menyedarkan diri tentang kehidupan yang singkat ini, dan apakah persiapan menuju mati.

Ketika Sasterawan Negara Datuk Shahnon Ahmad memberikan komen mengenai PAS, beliau ada menyinggung mengenai kehebatan Tuan Guru berkarya. Jarang ada pemimpin hebat yang mampu menghasilkan banyak buku seperti Nik Aziz. Sayangnya kata Shahnon Ahmad, ahli-ahli PAS tidak mengambil manfaat seoptimanya daripada penulisan Nik Aziz. Memanglah...orang-orang PAS amat bersemangat dengan ceramah, hanya sedikit dengan buku, kitab dan kuliah.

Nik Aziz memberikan gambaran sebenar mengenai corak kepimpinan dan pentadbiran Islami kepada non-muslim. Memang dahulu PAS pernah mentadbir Kelantan dan Terengganu, namun rakyat tidak mampu melihat perbezaannya secara jelas. Yalah, jika pemimpin Umno menghisap rokok terang-terangan, kemudian pemimpin PAS pun berbuat perkara yang sama...maka apakah bezanya?

Saya pernah terbaca dan terdengar, bagaimana pengasas Jemaah al-Arqam sendiri adalah ahli PAS yang mufaraqah daripada PAS, kerana sikap pemimpin utama PAS zaman dahulu yang tidak Islami. Sebab itulah, apabila Nik Aziz membawa suatu tauladan unggul, maka Nik Aziz telah meletakkan satu pertunjuk jelas nilai kepimpinan PAS.

Maka selepas itu, setiap pemimpin PAS yang naik menjadi MB atau YB, mereka dibayangi dengan kepimpinan Nik Aziz. Jika Nik Aziz tawadhuk, maka mereka juga wajib tawadhuk. Jika Nik Aziz peramah, maka mereka wajib peramah. Jika Nik Aziz mengajar di kuliah, maka mereka mesti boleh mengajar bukan sekadar berceramah. Jika Nik Aziz isterinya salihah, maka isteri mereka juga mesti salihah.

Demikianlah piawaian baharu yang diletakkan oleh Nik Aziz dalam kepimpinan PAS. Maka, mana-mana pemimpin yang dilihat tidak mencontohi Nik Aziz, mereka akan dilihat tidak Islami. Itulah hebatnya ketokohan Nik Aziz.

Sebab itulah, PAS amat bertuah memiliki sosok sederhana tetapi berwibawa seperti Nik Aziz. Bahkan Pakatan Rakyat juga menumpang tuahnya. Orang Cina dan India bukan Islam, yang dahulu amat takut dengan Islam, kini semakin dekat dengan Islam.

Ketakutan terhadap hudud berganti dengan rasa ingin tahu mengenainya pula. Bahkan, mungkin mereka sendiri gembira jika pemimpin yang ada walaupun berbangsa Cina kuat pegangan agamanya seperti Nik Aziz. Tidak curang dengan keluarga, tidak rasuah dan salah guna kuasa.

Maka, inilah kelebihan yang diberikan Allah kepada Pakatan Rakyat. Saya yakin teramat yakin, selagi mana Nik Aziz masih bernyawa, maka beliau adalah faktor penyatu di dalam Pakatan Rakyat. Maka, semua pihak wajar memanfaatkan Nik Aziz. Bukan sekadar simbol ’Ketuanan Rakyat’ seperti mana Anwar Ibrahim...tetapi juga sebagai ’guru’ yang boleh menyelamatkan dalam bahtera akhirat...amin.

Sunday, March 8, 2009

FRU: antara hadiahkan bunga dan air atau biarkan mereka dibalas Tuhan...


Mari kita sebarkan salam kasih-sayang kepada mereka, hulurkan bunga, berikan air kotak dan sebungkus burger atau roti sardine…itulah antara intipati sebuah SMS. Seorang sahabat menceritakan, saat FRU berlalu pulang, mereka bukan sahaja diiringi tepukan ‘terima kasih’ daripada para demonstran GMP di Masjid Negara, bahkan ketika itulah mereka baharu menjamah kuih di atas trak!

Saya pernah terdengar bahawa FRU ini memang diperalatkan secara ‘membabi-buta’ oleh pemerintah…Umno dan BN. Apabila ada satu-satu operasi, maka FRU ini akan ditahan makanan mereka. Dibiarkan mereka kelaparan. Dengan rasa lapar itulah, mereka diarah ’menjaga kemanan.’

Dek kelaparan yang amat menggigit usus, maka tidak hairanlah mereka cepat marah dan hilang pertimbangan. Budak kecil atau orang tua renta bahkan kaum wanita, mereka belasah semacam sahaja. Sebabnya mereka lapar.

Kemudian, FRU ini juga dilarang daripada berehat. Mereka penat tetapi arahan ketua yang memang barua Umno BN, melarang mereka berehat. Maka, dengan keadaan penat (tak mustahil semalaman dilarang tidur!), mereka makin mudah terangsang untuk membantai rakyat.

Itulah, apabila membaca SMS berkenaan...ada juge le betoinya. Mungkin idea ini boleh dipraktikkan...manalah tau, lembut sedikit hati mereka selepas ini.

Walau bagaimanapun, ada sahabat yang begitu marah dengan mereka. Katanya, jika dia tahu mereka ini mati, jangan kata nak ucap takziah dan nak doakan, nak jengok jenazah pun dia tak hingin. Bahkan, dia kata golongan ini nanti nak mati pun payah. Allah akan siksa mereka, kerana kelaku huduh mereka membelasah rakyat yang berkumpul tanpa senjata.

Saya memang akui, FRU ini bertindak atas arahan. Namun, arahan manusia bukanlah wajib dipatuhi 100%. Hanya arahan Allah SWT dan Rasulullah SAW sahaja yang tidak boleh diingkari. Arahan manusia, masih tertakluk kepada syariat.

Kata seorang sahabat lain, jika zaman Firaun dahulu, Firaun menggunakan polis dan tentera untuk mencari bayi lelaki dan membunuh mereka demi kesinambungan kekuasaannya, maka samalah sahaja apa yang berlaku hari ini. Polis digunakan untuk mencari golongan yang dianggap mampu merampas kuasa pemerintah zalim dan belasahlah mereka. Apa bezanya?

Sebaliknya, semasa zaman khilafah Islam dari zaman Abu Bakar sehingga Turki Uthmaniyyah, polis dan tentera juga digunakan untuk tujuan mempertahankan kedaulatan Islam dan menyebarluaskan kekuasaan Islam. Maka tentera dan polis itu menjadi ’jundullah’, yakni tentera-tentera Allah.

Kita sebagai rakyat yang 'sedar' memang dah tak berasa pelik dengan kelaku dan perangai huduh para polis ini, bukan sekadar FRU bahkan para SB...sebabnya, mereka ini adalah tali barut atau barua Umno atau BN yang bertugas memporak-perandakan keharmonian rakyat. Jenayah nak meningkat pun, biarlah...

Sebab itu kita tak berasa pelik, kenapa apabila PR berkumpul, walau ditegaskan bahawa ia adalah perhimpunan AMAN, untuk kepentingan bahasa Melayu...tetap diganggu polis. Tetapi, apabila Umno berkumpul, kemudian belarak di jalan raya, mencaci-cerca pemimpin pembangkang, dengan sepanduk dan poster...TANPA PERMIT pula tu...okay jer. Tak ada pun FRU yang nak sembur apa-apa air...atau bagi apa-apa asap...boleh pulak kan!

Inilah sifat berat sebelah yang menyerlahkan siapa sebenarnya polis di Malaysia. Sebab itu, antara cadangan sahabat di atas, hulurkan hadiah bunga, air dan roti dengan kejengkelan untuk tidak mengucapkan seulas takziah saat mereka mati, saya dapati kedua-duanya ada kewajaran.

Idea di atas mungkin boleh kita aplikasikan selepas ini, sementara sifat kejahilan mereka itu, kita serahkan kepada Allah sendiri untuk membalasnya! Ingat...roda itu kan sentiasa berputar...

Saturday, March 7, 2009

Nasib malang pejuang bahasa?

Let’s clap our hand and let the mind-clamp for FRU

Allah SWT menciptakan akal bagi manusia supaya boleh berfikir. Boleh menimbang baik dan buruk. Bukan mengikut secara semberono. Tidak seperti Hang Tuah yang sanggup terojun ke dalam kubang najis semata-mata mahu menyelamatkan kuda Tezi milik putera raja.

Apabila FRU bertindak sesuka hati, menembak gas pemedih mata hingga masuk ke dalam masjid, menyembur air berasid ikut suka tanpa memperdulikan siapa yang kena, sama ada pakcik tua atau adik kecil...tidakkah itu mencerminkan kebebalan mereka?

Inilah polis di Malaysia khasnya FRU. Sebab itu, tidak hairanlah ada kalangan demonstran yang terlalu jengkel dengan FRU dan menggelar mereka ’anjing.’

Dan petang tadi, setelah penat menembak gas pemedih mata dan menyiram air asid di perkarangan Masjid Negara, para peserta demo aman Gerakan Mansuhkan PPSMI telah bersama-sama berpakat memberikan tepukan gemuruh kepada FRU. Sementara itu, harapnya di sebelah FRU pula...mereka dapat berfikir, apakah makna di sebalik tepukan gemuruh itu!

Saya juga tersentuh dengan ulasan ringkas Datuk A. Samad Said: ”Rupa-rupanya, inilah caranya (jalan) bagi menyelamatkan bahasa (Melayu) kita.”

Cuma saya agak terkilan, kerana pemimpin daripada kalangan bukan Melayu nampak sedikit terpinggir dalam isu ini. Andai mereka dapat sama-sama menggembelengkan tenaga, alangkah indahnya.

Mendengar beberapa ulasan sahabat semasa berhenti rehat dalam acara demo, mereka membayangkan bahawa setiap tekanan daripada kerajaan, khususnya dengan penggunaan polis secara keterlaluan, semuanya akan memberikan kesan positif kepada rakyat Malaysia.

Semakin ditekan, bermakna semakin kuatlah rakyat menuntut perubahan!

Seorang ’abang’ dari kalangan demonstran juga bersemangat menyatakan, kita beri mereka tempoh 30 hari; andai tiada perubahan maka kita akan berhimpun lagi...kali ini Himpunan Sejuta Rakyat pula!

Seorang lelaki berdarah kepalanya. Apabila ditanya, dia terlanggar besi semasa menyelamatkan diri daripada senjata FRU. Kasihan...itulah nasib seorang anak muda yang sayangkan bahasanya.

Dalam perjalanan pulang, saya turut menyaksikan anak-anak kecil turut dibawa ke lokasi demo. Kaum ibu itu kelihatan tabah sekali. Saya membayangkan, takkanlah mereka datang untuk membuat kacau. Sebaliknya, provokasi polislah pencetus amarah rakyat.

Semuanya asyik bertanya...sampai bilakah semua ini?

Jawapan saya...ia bergantung pada diri sendiri. Jika kita berusaha menamatkan kejahatan mereka, maka ia akan berjaya. Tetapi, jika kita sendiri tiada usaha mengubahnya...ia mungkin sedikit lambat mengecapi kejayaannya. Yang penting...jangan jadikan diri sebagai si malang kerana kesilapan kecil yang engan diperbetulkan.

Friday, March 6, 2009

PR Vs BN...jangan le berlembut sangat yeob


Keharmonian kaum yang diuar-uarkan di Malaysia ibarat ‘telur bergolek di hujung troli.’ Apabila bergetar sedikit sahaja…acheh…cheh…udah jatuh bedebup ke lantai. Lepaih itu, pecah le… Hanchoor!

Perpaduan yang dianjurkan oleh BN di Malaysia amat rapuh. BN meletakkan asas polarisasi kaum sebagai neraca perpaduan. Sejak pra-merdeka, setiap etnik diwakili oleh parti yang berbeza. Umno untuk Melayu, MCA untuk Cina dan MIC untuk India.

Selepas 50 tahun merdeka, prasangka kaum masih menebal. Silap sikit sahaja, mulalah kedengaran suara-suara sumbang. Yang peliknya, suara itu datang dari dalam batang tubuh BN sendiri.

Orang Umno misalnya, terlalu fanatik dengan perkauman...kononnyalah. Apabila hak Melayu cuba disinggung...merekalah yang mempertahankannya...kononnyalah. Hakikatnya, Umno sendirilah yang menjahanamkan bangsa Melayu.

Tak usah pegi jauh-jauh, che mike chegoye pada nasib bahasa Melayu sendiri, apa jadinya di tangan Umno yang kononnya fanatik assabiyyah Melayu-nya tu. Kendian, mike tengok pula kepada hak-hak Melayu yang dijamin perlembagaan, biasiswa Melayu misalnya, makin chupoi dihakis dek kefanatikan Umno.

Sebab itu le teman kate, Umno atau BN hanya pura-pura bersatu. Mereka bersatu hanya depan kamera, bersatu hanya dalam majlis hari raya, bersatu masa nak mengundi...lepas tu balik rumah masing-masing, dok asah parang dan sabit...tu yang antara Gerakan dan Umno pun boleh bergaduh di Pulau Pinang tu.

Sebaliknya, Pakatan Rakyat lebih tulus dan kredibel dalam membawa mesej perpaduan di antara kaum. Parti-parti dalam PR semuanya tidak meletakkan asas kaum atau bangsa sebagai dasar perjuangan dan tonggak parti. Semuanya...baik PAS, PKR dan DAP...meletakkan ideologi mereka yang melampaui sempadan sempit perkauman.

PAS menerima sesiapa sahaja asal mereka Islam, bahkan kini PAS membuka ‘cawangan’ baru apabila merestui penubuhan Kelab Penyokong PAS yang mewakili golongan non-muslim yang menyokong PAS.

PKR dan DAP memang parti pelbagai kaum. Tidak seperti MCA dan MIC. Dalam PKR, ada Anwar Ibrahim, ada Gobalakrishnan dan Tian Chua juga. Itu contoh mudahlah. Dalam DAP pulak, ada Karpal Singh, ada Lim Guan Eng dan ada Tunku Abdul Aziz. Nampak jelas, semuanya parti multi racial...bukan seperti MCA, MIC dan Umno yang totok bangat perkauman sempitnya.

Inilah kekuatan PR. Sayangnya, bak kata sesetengah orang, pemimpin PR ni terlalu ‘BERLEMBUT’ dengan Umno dan BN. Dah kena belasah sampai lebam-lebam mata, dikeronyok dalam kubang ISA, difitnah dan ditohmah dengan pelbagai isu murahan yang tak betul pun...masih nak bertolak-ansur dengan Umno atau BN.

Ini yang kami golongan kelas bawahan dalam PR tak berapa nak faham...

Saya hanya melihat suatu perubahan mendasar dan drastik hendaklah dilakukan segera oleh kepimpinan PR. PR adalah milik rakyat Malaysia yang mencintai Malaysia. Slogan ‘Ketuanan Rakyat’ telah memukau jutaan majoriti rakyat, mengalahkan slogan ‘pembangunan’ tajaan BN. Jadi, jangan hampakan rakyat!

Hanya satu contoh mudah, sehingga kini saya masih tidak faham...kenapakah PR masih memberi muka kepada media yang secara terang-terangan adalah MUSUH kepada PR. Utusan tu satu hal lah, memang dah nak ‘bungkus’ pun le ni kena pulau di pembaca...tu yang lain-lain tu...TV3 dan RTM...belasahlah cukup-cukup.

Saya cukup ‘berbulu’ biji mata bila melihat berita TV3...tapi lebih berbulu segala-galanya bila melalui LDP dan di sebelah One Utama tu berdiri megahnya MEDIA PRIMA yang TV3 tu ada kat dalamnya....dalam SELANGOR pulak tu!

Saya tak tahu, apakah caranya nak mengajar TV3...nak halau, bangunan tu depa punya...tapi kena fikirlah apa-apa sahaja caranya. Umno sanggup REDAH apa sahaja jalan untuk menjatuhkan PR; takkan kita tak boleh...asalkan tak melanggar syariat Islam, bagi saya on je...

Inilah cabaran kepada PR? Jadi...ada BRANNN ke Tak ada BRANNN...kata anak muda le ni... Lu Fikir La Sendiri!

Thursday, March 5, 2009

Jangan ada lagi persidangan di bawah pokok kali ke-2!


Bukan mudah menggertak saki-baki gerombolan Umno. Apatah lagi jika mereka adalah entiti yang tampak kukuh dan tidak bergantung kepada kerajaan negeri yang dimenangi PR. Saya melihat, mereka makin memperkukuhkan ’imuniti’ masing-masing. Atas apa sahaja nama atau simbol, yang penting legasi mereka (baca legasi Umno) kekal dan berterusan.

Secara jujurnya, saya memberikan tanda bagus kepada akhbar Harakah edisi Isnin, 2 Mac 2009, yang menyiarkan sebuah artikel bertajuk ’Pakatan naif berpolitik’. Sedar atau pura-pura tidak, apa yang ditegur oleh penulis berkenaan telah lama digembar-gemburkan oleh kita semua. Hingga ada yang sampai ke tahap dah naik ’merajuk’ dan ’malas’ dah nak menegur.

Kerajaan Umno – BN, bukan setahun atau sepenggal menerajui Malaysia. Kecuali Kelantan dan Terengganu, mungkin Sabah...mereka adalah ’absolute’ power...hinggalah ia dinafikan secara ’terhormat’ oleh undi rakyat Mac 08 lalu.

Saya membayangkan, dengan penguasaan yang begitu punya lama, jangankan pegawai atasan mesti bercop ’dacing’; bahkan semua rangkaian organisasi yang ada ketua, maka ketuanya itu mestilah bercop dacing juga.

Maka itulah, di Selangor dan Perak misalnya, kini kian terserlah ’kedacingan’ mereka. Inilah yang dimaksudkan kenaifan pemimpin PR dalam berpolitik. Gagal membaca apa yang bakal terjadi, sekurang-kurangnya bijak mengatur rencana agar mampu ’mengekang’ pergerakan Umno – BN.

Kita ahli-ahli bawahan dalam gabungan PR, merasa kesal sebenarnya apabila suara-suara kita dipandang sepi tanpa tindakan. Kepimpinan PR yang diharap mampu merealisasikan segala canang dan kata-kata lewat kempen pilihan raya, nampak melencong apabila bergelar MB dan exco.

Malaslah nak menyenaraikan siapa mereka dan apa yang dijanjikan...bukan ada kesan apa-apa pun. Sudah ’berbuih’ mulut memberi ingat, sudah berpuluh SMS dikirim, sudah berkali panggilan telefon tidak dilayan...apa lagi yang nak diharapkan?

Sebab itu, pemimpin PR kena cekatan dalam permainan politik Malaysia. Tiada istilah ’kasihan belas’ apabila berdepan dengan Umno. Mereka adalah seburuk-buruk parti di atas bumi Malaysia ini. Demi kuasa, mereka sanggup menongkah apa sahaja, sanggup menelan apa sahaja kata-kata orang, yang penting K.U.A.S.A!

Adakah kita mahu menunggu Nizar ke-2 atau Perak ke-2 baharu mahu bertindak? Saat itu sudah terlewat. Saat itu tiada gunanya lagi usul diluluskan, kerana kuasa Speaker DUN hanya layak diterima jika BN yang berkuasa. Saya enggan menyaksikan, sidang di bawah pokok sena kali ke-2, terjadi lagi selepas ini...di mana-mana!

Kepelbagaian isu perundangan…baliklah kepada al-quran dan as-sunnah

Semasa saya belajar syariah dahulu, antara lain kami ditegaskan bahawa Allah SWT meletakkan lima perkara sebagai asas penting yang AMAT dipelihara oleh syariah, ia dinamakan maqasid syariah atau al-khamsah ad-dururiyyah…, iaitu: Memelihara Agama, Nyawa, Akal, Keturunan dan Harta. Bagi memudahkan saya menjawab soalan semasa peperiksaan, saya membina kata kuncinya, iaitu ANAKeH!

Islam menurunkan perundangannya bagi memelihara agama, maka diharamkan murtad; menjaga nyawa diharamkan pembunuhan; menjaga akal maka diharamkan arak; menjaga keturunan atau nasab maka haramlah perzinaan dan memelihara harta maka diharamkan mencuri dan menyamun atau yang seangkatan dengannya.

Baiklah…apa kaitan dengan isu di Perak? Saya bukanlah seorang ahli fikah atau digelar fuqaha yang bijak menafsirkan suasana dan kemudian mengeluarkan hukum dengan pelbagai usul fikah dan qawaedul fiqhiah yang lain. Teman ngaji rendah je…ate, sikit-sikit tu boleh le teman mencerakinkannya…

Di Perak, isunya ialah Rampasan Kuasa. Pada saya, rampasan kuasa adalah seiras dengan ‘mengambil hak orang secara paksa’. Ia boleh jadi, mengambil pen atau kereta kawan misalnya secara paksa, lepas tu ngaku sendiri yang punya, lebih teruk lagi menafikan pemilik asalnya dan pegi juai kat orang lain pulak dan sebagainya…, dalam konteks besar ia dipanggil ‘menyamun’.

Setakat yang saya belajar…sikit-sikitlah…menyamun adalah lebih jahat daripada mencuri. Namun, kesalahan menyamun tetap dikategorikan di bawah Penal Code syariah yang dinamakan Kesalahan Jenayah Hudud.

Ha…ambik!!! Hukumnya bukan sekadar potong tangan…berat lagi. So, saya tak taulah…adakah ‘Merampas kerajaan secara haram’ di Perak ini boleh dimasukkan ke dalam kesalahan hudud juga…mungkin benda ni, Tok Mufti Harussani (harus dua kali…) boleh tolong jawab…dia kan mufti.

Secondly..., kenapa saya kata kena kembali kepada Islam? Kerana sejarah menunjukkan, kerajaan yang diambil secara paksa tidak akan aman. Kita mana boleh menafikan sejarah, saat Majlis Tahkim di antara Saiyidina Ali Kwjh dan Muawwiyah bin Abu Suffiyan (masing-masing diwakili Amru al-Ash di pihak Muawiyah dan Abu Musa al-Asyaari di pihak Ali), telah berlaku ‘rampasan’ kuasa secara licik sehingga tercabutnya jawatan khalifah dari pundak Saiyidina Ali (secara paksa!)

Sejarah mencatatkan, berlaku perpecahan yang besar. Khalifah Ali tetap terus menjadi khalifah bagi sebahagian umat Islam sehinggalah Hassan ibn Ali sanggup melepaskan jawatan dengan syarat-syarat yang tertentu. Namun, insiden Karbala amat sadis sekali selepas itu…saya enggan mengenangnya, kerana ia mencarik luka yang amat dalam sekali dalam sejarah ahlul bait rasulullah….dan ini kita tidak mahu sama sekali berulang dalam bentuk moden di Perak…

Rentetan sejarah ini menyaksikan, Madinah dan jajahannya tidak pernah aman. Biar pun semasa pemerintahan Umar bin Abdul Aziz dari Dinasti Umaiyyah berlaku keamanan, namun ia tidak kekal. Kewafatan Umar mengembalikan gelodak anarki. Saya rasa, kita tentu tidak mahu selepas ini, takdirnya PR kembali menguasai Perak selepas pilihanraya (tak kiralah PRU 13 atau selepas pembubaran DUN Perak), maka PR mengambil pendekatan berdendam sebagaimana

Kerajaan Abbasiyah lakukan ke atas saki-baki Umaiyyah. Sebab itu kita kena ambil iktibar dan kembali kepada Islam. Dalam al-Quran sudah jelas, dalam hadis sudah jelas. Antaranya (setakat yang saya tahu dan ingat):

Satu: Semua pihak kena letakkan asas yang Islam nak di atas, iaitu keadilan. Baik PR, BN mahu pun istana, letakkan keadilan di atas. Ini yang Islam nak, bukan Melayu atau apa-apa asas dan sandaran lain. (ingat…Islam itukan adil…

Rujuk firman Allah SWT: “Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang ADIL dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. Dan Kami tidak menetapkan kiblat yang menjadi kiblatmu (sekarang) melainkan agar Kami mengetahui (supaya nyata) siapa yang mengikuti Rasul dan siapa yang membelot,” (Al-Baqarah, 2: 143)

Dua: Semua pihak kena bermesyuarat mencari jalan penyelesaian. Jika PR nak mesyuarat tapi BN lari, sampai bila pun tak selesai. Jika BN mesyuarat tapi ‘tutup pintu’ kepada PR pun kantoi juga. Jika istana mesyuarat hanya dengan BN sahaja pun kantoi jugalah. Kena ada semua sekali. Kemudian, buat satu ketetapan yang diperakui. Jika nak bubar DUN pun, kena patuhilah…

Allah bagi tahu kat kita: “Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku berlemah lembut terhadap mereka.Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar ,tentulah mereka menjauhi diri dari sekelilingmu . Kerana itu maafkanlah mereka.Mohon ampun bagi mereka,dan bermesyuarahlah dengan mereka dalam urusan itu.kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad,maka bertawakalah kepada Allah.Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepadanya,” (Ali Imran, 3: 159)

Tiga: Semua peringkat kena amal sikap sabar dan tasamuh (bertolak-ansur), tidak taksub, tidak selfish (tamak) dan sebagainya. Jika ditakdirkan apa sahaja keputusan sama ada daripada mesyuarat di atas atau selepas pemilihan semula oleh rakyat…jangan dok buat lagak lagi, rampas kuasa lagi…jika tidak sampai bila pun isu di Perak tak selesai yeob!

Last but not least, let us see this reminder from Allah SWT: “Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan,” (al-Maidah, 5: 8)

Dan kata Allah lagi: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan ADIL. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat,” (Al-Nisa’, 4: 58)

Wallahua'lam...


Tuesday, March 3, 2009

1 Raja, 3 Laksamane & Menteri Pasola


Puaslah hati beta

Alkisah, tikar mengkuang terbang milik laksamana Do pun berlepas. “Wahai tiko mengkuang teman yang pande terobang, mike singgah le di negeri perak darul ridzuan…zam-zam…allla kazam!”

Zusss…

Sesampe tige laksamane yang gagoh perkase di negeri berkenaan, amat masghullah mereka. Arakian melihatkan betapa porak perandanya negeri berkenaan. Dahulu, Perak Darul Ridzuan adalah negeri yang permai dan makmur, le ni udah bertuko menjadi negeri yang mamai dan hancur.

“Wahai memanda menteri, cuba mike teropong ke hujung padang sana. Pada firasat beta, seakan-akan ada lembaga yang sedang mengintai-ngintai ke arah kite semua.”

Lalu memanda menteri yang agak botak kepala lagi gelap kulitnya pun meneropong… “Benar tuanku…ada tige orang, gayanye macam oghang luo, deme seakan laksamane Do Re Mi seperti yang pernah tuanku mimpikan dahulu…”

Tidak lama, bertemu dan berlabunlah tiga laksamane dengan memanda menteri dan paduka raja. Dikisahkanlah segala yang berlaku. Angkara jahat Menteri Pasola yang telah merompak dan menggulingkan kerajaan yang ada. Hingga kini, raja dan memanda menterinya pun terpaksa bersidang di ‘bawah pokok’ adanya.

“Tuanku jangan bimbang…sembah Laksamane Re. Ini…teman ada teropong ajaib. Dengan teropong ini, kita boleh mencari di mana Menteri Pasola berada. Kita juga boleh mengetahui apakah kelemahan-kelemahan pada diri Menteri Pasola.”

Maka diteroponglah oleh Laksamane Re. Dilihatnya Menteri Pasola sedang mengudap roti telur cecah sambe sotong…seakan-akan di Karai atau Pekan Manong…eh bukan, bukan Pekan Manong…tapi Pekan Pahang adanya.

Kemudian, dia meneliti apakah kelemahan-kelemahan pada Menteri Pasola. Dia memulas-mulas teropongnya, agak susah juga mencari apa kelemahan Menteri Pasola. Kerana setiap sudut ada sahaja penutupnya. Di sudut kiri ada Sang Musang, di kanan ada Goni Bertahil, di bawah ada Said Pak Porno (namanya dikaitkan dengan anankandanya yang ditangkap sewaktu mengedo cakera porno di Sulaesi Utara), di atas pula ada Tiang Seli Usop 2020…makna kata, keliling-kelalangnya penuh ‘body guard.’

“Ampuan tuanku. Teman udah nampok di mana orang yang menjadi punca segala masalah ini…ya, Menteri Pasola sedang berenak-enak melantak roti telo cecah sardin di Pekan Pahang tuanku…”

Dipendekkan cerita, ketiga-tiga laksamana itu pun berangkatlah lagi dengan tiko mengkuang ke Pekan Pahang. Perjalanan tidaklah begitu senang, memandangkan banyak juga sekatan polis udara anak-anak buah si Musang Hasang...mujo lah si Laksamana Mi mempunyai harmonica ajaib, bila ditiup sahaja, mereka pun ghaib.

Sesampai sahaja mereka di Pekan Pahang, mulalah tiga lakamana cerdik dan gagah itu bermesyuarat. Apakah caranya mengalahkan Menteri Pasola yang ‘biadap’ dan ‘kurang hajar’ itu. Biadap kerana berani melanggar dan memporak-perandakan negeri Perak Darul Ridzuan dan kurang hajar kerana menghina Sultan Perak dengan membiarkan para menteri bersidang di bawah pokok ketapang di tepi padang.

“Wahai pangsi ajaib, che mike kabo ke teman…apakah rahasia kelemahan si Menteri Pasola lahanat ini…Fiiiiung….Jeng…jeng…!”

Maka, dapatlah diketahui akhirnya bahawa, kelemahan Menteri Pasola ini hanya ada satu sahaja…ISTERINYA!

Dan ketiga-tiga laksamana itupun taulah apa tindakan mereka seterusnya….kita cerita lain kali pulak…

Mari kita contohi Nizar, Ngeh Koo Ham dan Sivakumar


Andainya…

Andai kita punya kuasa seperti seorang sakti, apakah yang akan kita lakukan saat ini? Andai kita punya karamah seorang wali, maka apakah doa kita waktu ini? Andai kita dikurniakan mukjizat para nabi, seru apakah agaknya bertalunan tika ini?

Menyaksikan drama politik di Perak negeriku, benar-benar menghiris kalbu. Terasa ngerinya mengenangkan sebuah kesudahan. Apakah ini semua sudah suratan takdir, atau kita bisa untuk melakar sebuah tadbir. Di manakah nilai dan erti kematangan, erti kewarasan dan erti ketamadunan?

Hampir menitis air mata, tatkala membaca luahan demi luahan rasa oleh para pengunjung. Saya rajin menghantar artikel ke Perakexpress. Adakalanya, artikel baru yang saya hasilkan, saya hantar dahulu ke sana. Selepas itu baharulah saya postingkan di blog sendiri.

Itulah, apabila meneliti setiap komen yang diberi, semuanya berbaur antara kegelisahan dan ketidaktentuan. Hati masing-masing dibalut kesayuan amat sangat. Siapa yang tidak sayu, andai MB yang begitu baik laku diperbudakkan semahu-mahu. Siapa yang tidak sedih apabila seorang speaker yang sah diperolokkan bagai budak mentah. Siapa tidak marah apabila para Adun yang berhak ke persidangan; namun diperhambat bak budak gelandangan!

Ini negara apa agaknya? Saya membaca komen-komen...benar, kita kadang kala bertanya juga, di manakah peranan Tuanku sultan? Adakah segala kekalutan yang berlaku, hanya ribut dicangkir kopi? Tidak adakah sekelumit rasa simpati daripada istana negeri, yang kononnya mendabik dada selalu, bahawa raja berjiwa rakyat, menyongsong arus menunai hajat, biar mati anak jangan mati adat, biar raja disembah walau rakyat rebah, biar raja berdaulat walau rakyat dirundung ralat, biar raja bertakhta sedang rakyat menderita...

Kita sedih dan merasa terpukul bertalu-talu. Sudahlah segala jentera yang ada dikerah bak soldadu upahan, apakah ini nasibnya kerana menegakkan kebenaran?

Saya hanya suka mengulangkan seruan...perteguhkan saff di peringkat bawahan. Cina, India dan Melayu, mari kita bersatu. Kita bulatkan tekad demi sebuah pembaharuan. Politik alaf baru yang melangkau garis sempadan perkauman. Kitalah pencoraknya, pencorak masa hadapan negara demi anak cucu cicit dan keturunan kita.

Kita tinggalkan Umno dan Barisan Nasional yang enggan belajar menerima kekalahan. Mereka adalah generasi terakhir yang akan menyembah bumi dan dihumban ke dalam nereka dunia yang mereka gali sendiri tanpa mereka sedari!

Marilah...perkemaskan jentera parti kita. Biru, Merah dan Hijau kita kibarkan bersama dan julang diudara. Kita laungkan kalimah Reformasi, Takbir dan Makkal Sakhti tanpa letih, lesu dan tanpa henti. Kita semarakkan jati diri Malaysia Baru, Ketuanan Rakyat bukan Ketuanan sesuatu bangsa semata-mata.

Tidak lama, jika bukan esok mungkin lusa, mungkin bulan hadapan atau tahun mendatang, mereka akan melutut kepada ketentuan Allah jua. Bahawa yang bohong, palsu dan salah akan terserlah juga akhirnya. Bahawa yang benar, betul dan sah akan menang juga sudahnya.

Kitalah waris kemenangan itu...dengan syarat kita jalinkan seutuhnya tali perhubungan di antara kita, seutuh hati Nizar, Ngeh Koo Ham dan Sivakumar. Mereka adalah contoh buat kita di Perak juga buat Malaysia seluruhnya! Katakanlah: Telah datang yang haq (kebenaran) dan telah lenyap yang batil atau yang palsu. Sesungguhnya yang batil (atau palsu) itu pasti lenyap. (Al Israa' 81)

Tragedi Perlembagaan Paling Sadis Abad Ini


Tiada istilah yang dapat disebut bagi menjelaskan semua insiden yang terjadi. Kecaman dan kejian sudah lali. Namun semuanya berlegar dalam ruang yang terhad. Tiada media massa meluas buat menyampaikannya kepada denyut nadi setiap pengundi. Semuanya ditapis dan disaring. Apa yang ada hanyalah putar belit keadaan dan berita kepalsuan!


Remuk redam hati saya selaku rakyat Perak, menyaksikan betapa kolotnya pemikiran segelintir manusia yang hitam legam hatinya dan berkarat dengan kedunguan pemikirannya, cuba menafikan kebenaran dengan pembohongan. Terasa betapa hodohnya wajah mereka, walaupun wajah itu cuba diberikan sepuhan indah menerusi wadah media. Hodoh sehingga sukar digambarkan lagi.

Perak Darul Ridzuan, menancap satu lembaran baharu dalam sejarah peradaban moden manusia di Malaysia. Siapa yang menyangka, di sebalik wayang kehebatan dengan pelbagai gelaran dan pangkat kebesaran, tersimpan wajah-wajah kusam penuh dendam yang merosakkan.

Semuanya bermula dengan satu kalimah: Kuasa!

Kuasa, yang dengannya dapat menundukkan manusia lain dan dengannya juga dapat memuaskan nafsu serakah sendiri. Kuasa yang dengannya segala dapat dibeli, dijual dan dinafi. Kuasa yang dengannya menjadikan salah itu betul dan benar itu salah. Kuasa yang dengannya menyumbat orang alim dan baik ke penjara dan penjenayah bebas tanpa dosa!

Inilah kemelutnya. Aduhai…remuk-redam hati kecil saya, melihat perlakuan manusia rakus di Perak. Apakah mereka ini sudah lupa, bahawa negara ini demokrasi, negara ini ada paksinya, undang-undang dan perlembagaan dijadikan pegangan. Sudahlah al-Quran diletak ke tepi, undang-undang yang mereka gubal dan luluskan sendiri, pun mahu dicampak ke tepi.

Apa dosa kami rakyat Perak? Apakah bersalah memilih pemimpin yang kami suka melalui jalan demokrasi. Apakah salah bagi kami rakyat Perak, untuk merasa pemerintah baru di bumi bertuah kami? Apakah salah kami menukar pemerintah lama yang sudah 50 tahun berkuasa tanpa sempadan? Apakah satu dosa kami mempunyai exco yang terdiri daripada bangsa cina; tetapi mereka tidak rakus memonopoli harta?

Apakah salah kami memilih semua ini? Adakah termaktub dalam perlembagaan bahawa seorang speaker boleh diperlekehkan oleh ‘orang suruhannya’. Sudah terbalikah dunia ini? Sudah mahu kiamatkah negeri kami? Apakah negeri yang kami sayangi ini akan hancur luluh menjadi puing-puing sejarah? Adakah seorang anak ‘biadap’ dari Pekan, Pahang akan melenyapkan kedaulatan negeri kami?

Kami rakyat Perak tidak reda dan sekali-kali tidak akan pernah reda. Setiap keringat kami yang gugur bagi memenangkan kerajaan kami, adalah mahal harganya. Ia juga menuntut kami menitiskan air mata bahkan darah merah. Kami berusaha menerusi cara yang halal, menerusi demokrasi, menerusi pilihan raya yang sah dan diiktiraf undang-undang.

Kenapakah, setelah kami rakyat Perak bersatu hati memilih orang yang lebih baik dari ‘gerombolan’ rakus dan ‘penikus’; maka pilihan kami dinafikan. Apakah kami ini rakyat Perak kelas kedua. Apakah kami hanya penumpang di negeri kami sendiri. Apa kami tidak layak bersuara?

Sudah tiba masanya, mari kita solat hajat saban malam. Kita panjatkan doa dalam sujud. Kita adukan kepada Tuhan. Kita mohon pertolongan daripad al-Khalik. Allah adalah wali kita. Setiap yang berlaku, maka kita catatkan tanpa reda. Bahawa kita tetap dengan pendirian. Bahawa Allah tetap bersama orang yang benar. Bahawa kejahatan akan jatuh dan lenyap ditelan bumi.

Marilah, kita kukuhkan hubungan dengan Allah. Pasakkan dalam hati, kemenangan milik orang yang benar. Tanamkan dalam jiwa, kekalahan akan menimpa golongan yang salah.

Biarlah pokok hijau itu menjadi saksi keutuhan kita. Pemimpin yang sejati disokong oleh rakyat yang bersatu hati. Melayu, cina dan India, kami semua adalah rakyat yang sama. Kami tidak akan lari dari medan jihad kami. Ir Nizar pemimpin kami, sampai kami mati.

Biarlah pokok hijau dan hamparan rumput itu menjadi saksi di hadapan Allah. Kami bai’ahkan janji setia. Seperti mana bai’ah rasululullah dan para sahabatnya di sisi Hudaibiyah. Insya-Allah…fajar akan menyinsing esok hari dan kemenangan kita, PR adalah pasti!

Allahuakhbar!

Sunday, March 1, 2009

Ke mana Jawi dan Bahasa Melayu


Zaman saya kecik-kecik, kami masih belajar menggunakan huruf jawi. Di sekolah kebangsaan, kami ada mata pelajaran jawi. Di sekolah agama rakyat pula, semua subjek diajar dalam jawi. Maka, semasa itu pengaruh jawi masih kuat. Kami diasuh agar mahir berjawi dan tidaklah sekadar bersedia untuk dimasukkan ‘jawi’ pada cuti penggal sekolah sahaja.

Jawi begitu berpengaruh dan berperanan dalam masyarakat. Orang-orang tua kami, termasuklah tok, opah, emak dan abah saya, lebih mahir membaca dan menulis jawi berbanding tulisan rumi. Membaca jawi bagi mereka adalah satu kepuasan batini. Rumi pula menyebabkan mereka merangkak-rangkak dan kuranglah sudah nikmatnya. Tulisan jawi pula terlalu klasik, bukanlah seperti hari ini. Saya masih menyimpan kitab-kitab kuning di rumah dan sesekali membukanya. Bila opah datang berkunjung ke rumah saya, maka saya belikan beberapa kita baharu tetapi bertulisan jawi, untuk opah membaca dan mengisi masa lapangnya.

Jika kami ke pekan (Kuala Kangsar, Sauk, Gerik, Lenggong hatta ke Taiping dan Ipoh) pula, papan-papan tanda kedai cina yang bermata sepet itu pun menggunakan tulisan berhuruf jawi, kedai basikal, kedai kopi, kedai buku hatta bank pun menggunakan tulisan jawi…walaupun para apek dan nyonya itu sendiri pun tak pernah ‘masuk jawi’ dan tak merasa ‘dijawikan’ dirinya…hmmm…begitulah besarnya impak jawi kepada rakyat.

Masa itu juga, ada surat habo jawi iaitu Utusan Zaman, ada majalah jawi iaitu Kiblat. Majalah Bujal yang emak suka belikan itu pun ada kartun jawi. Buku-buku jawi pun senang dicari.

Bila dah besar, semua itu dah hilang sedikit demi sedikit. Jangan kata budak-budak kerja kilang je dah tak mandang semua tulisan jawi ni, budak-budak yang lepas sekolah agama dan keroje di jabatan agama pun dah kurang minat dengan jawi. Bahkan, ada yang baca khutbah Jumaat pun lebih suka guna tulisan rumi walaupun deme tu asalnya berpendidikan arab!

Inilah padahnya bila pihak yang berwajib memandang enteng sesuatu perkara. Dalam hal ini, takkan nak salahkan kerajaan pimpinan Robert Mugabe di Zimbabwe atau mantan PM Britain Margaret Tatcher? Tak kan nak belasah mantan pemerintahan Iraq Kerajaan Parti Ba’ath Saddam Hussein atau Parti Nazi pimpinan Adolf Hitler di German? Atau nak salahkan Lee Kuan Yiew di Singapura! Habis…salah siapa?

Yang inilah…pemuda-pemuda Umno tak sedarkan diri. Mengaku Melayu tapi lupa asal-usul dan lupa jati diri. Tak sedar darah yang dok mengalir itu adalah darah Melayu yang makan petai, genuak, jering, belacan, budu dan pekasam. Biar pun mereka sembur parfum berbotol-botol, emak atau tok nenek mereka dulu lumur bedak sejuk juga ke muka. Maknanya, mereka kena kenai asal-usul diri mereka sendiri.

Sungguh pun mereka le ni berbahasa orang putih lebih dahsyat daripada orang putih, tapi depa jangan lupa yang tok nenek depa la dulu kena belasah dengan orang putih. Memang la kita tak musuh bahasanya, tapi jangan la dok bangga sangat. Sedar la diri sikit, darah Tok Janggut, Tok Bahaman, Mat Kilau dan Datuk Maharajalela yang tumpah ke bumi adalah kerana menghalau penjajah orang putih itulah.

Apabila orang Melayu sendiri sudah melupai asal-usul diri mereka, maka mereka akan jadi penyangak bangsa. Mereka senang-senang sahaja melabelkan orang yang tak sealiran dengan mereka sebagai musuh kemajuan dan anti-pambangunan. Ni ha…dalam isu bahasa, siapa yang tak setuju dengan idea mereka, senang-senang sahaja dianggap tidak tahu menghargai pembangunan negara…alah, setakat pandai bahasa Inggeris tapi dok berbohong menipu sana-sini nak buat hapa!

Kita ni umat Melayu sepatutnya banggalah dengan bahasa Melayu. Bahasa Melayu adalah lingua franca di alam ini suatu masa dahulu. Bahkan bahasa ini dianggap antara bahasa paling berpengaruh di dunia. Dari nusantara membawa ke Afrika ada orang yang berbahasa Melayu. Maknanya, dari sudut penutur, ramai tak terkira.

Apa yang penting, ialah kesungguhan menuntut ilmu. Cuba tengak Jepun, German, Peranchis hatta Iran dan Korea Selatan, mereka amat teruja dan patriotic dengan bahasa ibunda mereka dan mereka berjaya membawa arus kemajuan dengannya. Jurutera Jepun di Perodua tidak akan bertutur dalam bahasa Inggeris bahkan kita yang kena bercakap Jepun dengan mereka, demikianlah pengalaman kawan-kawan saya yang pernah berkerja di Perodua.

Jadi, pejuang-pejuang tulen Umno kena muhasabah diri. Jangan terlalu taksub dengan pimpinan atasan yang ‘bodo-sombong’ itu hingga lupa asas perjuangan anda. Jangan hanya kerana projek dan tender, anda sanggup melihat anak-anak anda sendiri bodo matematik dan sains. Akhirnya, anda juga yang rugi. Tapi, bila dikenang-kenang balik, Umno sanggup rugi masa depan, asalkan hari ini depa untung sekupang!

Catatan: Kata Tan Sri Ismail Hussein, PPMSI bukanlah cara yang ‘adil’ untuk memajukan anak-anak Melayu, khususnya di luar Bandar. Harus ada cara lain untuk membantu.

Tapi kata Hishamudin Hussin apabila diajak Salahudin Ayub berdebat: “Apa debat-debat. PPMSI berjalan dengan lancar. Tidak ada masalah!” Moralnya...siapa yang bermasalah di sini? Ha...jawaplah!