Wednesday, March 18, 2009

Unity Govt...second opinion towards Zul Sulong's thought...

Membaca catatan Zulkifli Sulong, memberikan kita perspektif baharu terhadap lanskap politik semasa. Benar, suatu pendekatan lain wajar dicari dalam kemelut politik yang tiada sudahnya. Ia meletihkan! Sayangnya, pendekatan itu dilihat agak ‘berliku’ dan ‘kompleks’sekali.

Umno sebenarnya adalah liability. BN mendapat liability itu kerana Umno menjadi tulang belakangnya. Di dalam BN, bukan tiada suara yang lebih rasional mendepani perubahan minda dan ‘mood’ rakyat; namun suara itu ghaib dek kerana Umno.
Parti Gerakan misalnya, terus-terang mahukan suatu perubahan. Hapuskan ISA misalnya, ia sealiran dengan citra rakyat. Namun, Umno menidak dan menghilangkannya begitu sahaja. Itu baru satu contoh mudah dan sebab itulah saya optimis bahawa, Umno adalah liability kepada semua pihak jika mendampinginya.
Kini, dalam keadaan Umno yang nazak dan bergantung kepada talian hayat yang juga makin nazak, maka PAS dilihat mahu memberikan suatu ‘suntikan’ baharu kepada Umno. Sebab itulah, ia mudah ditafsirkan ‘negatif.’ PAS dipandang negatif bukan sahaja oleh rakan PR seperti DAP; tetapi juga oleh rakyat yang mengundi.
Ini adalah liku pertama yang terpaksa dilalui oleh PAS. Bahkan saya percaya, kenyataan oleh DAP menerusi Lim Guan Eng baru-baru ini juga adalah suatu riak tidak puas hati. Beliau mempersoalkan idea ‘penyatuan pelbagai parti demi sebuah kerajaan’ itu tidak dicetuskan oleh Hj Hadi di dalam mesyuarat tertinggi PR.
Ini juga adalah suatu liku yang PAS harus tangani. Apabila ‘bermadu’ di dalam sebuah rumah, maka setiap kata dan laku hendaklah dijaga. Saya tidak fikir idea itu harus terpancut begitu sahaja, melainkan ia patut dimurnikan terlebih dahulu. Mungkin Hj Hadi dan Anwar mempunyai sesuatu agenda; namun ia tidak wajar membelakangkan DAP.
Di samping itu, jika PAS serius dengan idea pembentukan kerajaan perpaduan, maka apakah ‘master plan’-nya. Apakah ‘grand design’ nya? Rakyat Malaysia khususnya ahli-ahli PAS yang sempat ‘berkongsi’ rumah dengan Umno semasa menyertai BN suatu masa dahulu amat merasa perit sekali dan itulah yang dibayangkan oleh Nik Aziz. Itu juga adalah suatu liku yang wajib ditangani PAS.
Oleh itu, suatu perancangan rapi terhadap idea berkenaan hendaklah diwujudkan. Sudah pasti ia melibatkan rombakan besar-besaran dan sudah pasti ada kalangan menteri, timbalan menteri daripada BN yang akan ‘terpelanting’. Nah…ini juga adalah liku-likunya. Bersediakah mereka melepaskan kuasa?
Kemudian, bagaimanakah PAS dan kerajaan perpaduan yang ‘bakal’ wujud mampu memadukan kabinet baharu yang mengisi pemimpin PR dan BN sebagai ‘satu’? Adakah tiada jaminan wujudnya ‘perebutan’ di kalangan PR dan BN. Atau juga di kalangan PR sendiri?
Bagaimana dengan pengisian dalam portfolio utama, menteri kewangan, pertahanan, pendidikan dan wanita misalnya. Bagaimanakah kita mahu dan mampu mengimbangkan pengaruh di antara PR dan BN.
Ini semua adalah liku-liku yang perlu ditangani sedari awal. Ini kerana, kita tidak mahu, rumah siap pahat berbunyi. Melentur ahli dan pemimpin PR sendiri sukar dilakukan; apatah lagi jika menterinya PR dan timbalannya BN…bayangkanlah!
Namun, saya tidak pesimis dengan idea Hj Hadi ini. Ya, gagasan yang dilontarkan adalah baik. Ia murni sekali, demi kemaslahatan rakyat. Memang menjadi polisi PR pun membuat sesuatu demi rakyat. Namun, hendaklah idea ini diperdebat dan diperhalusi secara matang, khususnya kepada PR sendiri.
Teringat saya pepatah orang tua, terlajak perahu boleh diundur; terlajak kata buruk padahnya. Namun, jika ruyung tidak dipecahkan; masakan kita merasa enak sagunya untuk dimakan.
Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment