Tuesday, March 10, 2009

Nik Aziz dalam dakapan rindu...

Pemimpin yang adil amat dikehendaki
Penyelamat ummah dunia dan akhirat
Tanpa keadilan dunia akan huru-hara
Pemimpin menanggung dosa rakyatnya

Pemimpin yang adil orangnya tawadhuk
Sangat sayang pada rakyatnya
Rakyat diajak mentaati Allah

Pemimpin yang adil mengutamakan akhirat
Menyelamatkan rakyat dari tipu dunia
Akhlak yang tawadhuk pakaian dirinya
Rakyat sayang bukan takut padanya...

Demikianlah antara bait-bait lagu nyanyian kumpulan Nada Murni suatu masa dahulu. Entahlah mereka menujukan kepada siapa ’pemimpin’ berkenaan, namun yang utama ialah isinya amat menarik sekali.

Saya tak tahu siapa yang mencipta lirik di atas. Ia bukan sekadar puitis; namun memberikan panduan berguna buat kita, sama ada mahu menjadi seorang pemimpin mahu pun semasa kita memilih pemimpin.

Semasa itu, saya di tahun-tahun awal pengajian di kampus. Amat terkesan dengan lagu berkenaan, menyebabkan saya sentiasa membanding-tarakan watak pemimpin bayangan tersebut dengan pemimpin-pemimpin yang ada di hadapan mata.

Satu-persatu senarai pemimpin itu saya bandingkan, dan satu demi satu juga saya sisihkan mereka ke tepi. Hinggalah akhirnya, saya temui sedikit sebanyak watak-watak itu pada diri Tuan Guru Nik Aziz...ya, beliau mempunyai ciri-ciri pemimpin yang digambarkan.

Wataknya amat sederhana, sering menasihati rakyat jelata tentang dosa dan pahala, adil dalam menunaikan amanah kuasa, tawadhuk tiada ego lagi takabbur dengan kuasa, mengutamakan akhirat berbanding dunia, baik akhlak lagi terpuji peribadinya dan pelbagai lagi ciri-ciri utama pemimpin bayangan yang sentiasa didambakan manusia.

Nik Aziz hakikatnya bukan sahaja disayangi oleh rakyat Kelantan, bahkan seluruh Malaysia. Ke mana sahaja beliau pergi, rakyat berbondong-bondong mendampinginya. Melihat wajahnya sahaja sudah menenangkan hati dan memberikan suntikan motivasi. Mendengar suaranya sahaja sudah menyedarkan diri tentang kehidupan yang singkat ini, dan apakah persiapan menuju mati.

Ketika Sasterawan Negara Datuk Shahnon Ahmad memberikan komen mengenai PAS, beliau ada menyinggung mengenai kehebatan Tuan Guru berkarya. Jarang ada pemimpin hebat yang mampu menghasilkan banyak buku seperti Nik Aziz. Sayangnya kata Shahnon Ahmad, ahli-ahli PAS tidak mengambil manfaat seoptimanya daripada penulisan Nik Aziz. Memanglah...orang-orang PAS amat bersemangat dengan ceramah, hanya sedikit dengan buku, kitab dan kuliah.

Nik Aziz memberikan gambaran sebenar mengenai corak kepimpinan dan pentadbiran Islami kepada non-muslim. Memang dahulu PAS pernah mentadbir Kelantan dan Terengganu, namun rakyat tidak mampu melihat perbezaannya secara jelas. Yalah, jika pemimpin Umno menghisap rokok terang-terangan, kemudian pemimpin PAS pun berbuat perkara yang sama...maka apakah bezanya?

Saya pernah terbaca dan terdengar, bagaimana pengasas Jemaah al-Arqam sendiri adalah ahli PAS yang mufaraqah daripada PAS, kerana sikap pemimpin utama PAS zaman dahulu yang tidak Islami. Sebab itulah, apabila Nik Aziz membawa suatu tauladan unggul, maka Nik Aziz telah meletakkan satu pertunjuk jelas nilai kepimpinan PAS.

Maka selepas itu, setiap pemimpin PAS yang naik menjadi MB atau YB, mereka dibayangi dengan kepimpinan Nik Aziz. Jika Nik Aziz tawadhuk, maka mereka juga wajib tawadhuk. Jika Nik Aziz peramah, maka mereka wajib peramah. Jika Nik Aziz mengajar di kuliah, maka mereka mesti boleh mengajar bukan sekadar berceramah. Jika Nik Aziz isterinya salihah, maka isteri mereka juga mesti salihah.

Demikianlah piawaian baharu yang diletakkan oleh Nik Aziz dalam kepimpinan PAS. Maka, mana-mana pemimpin yang dilihat tidak mencontohi Nik Aziz, mereka akan dilihat tidak Islami. Itulah hebatnya ketokohan Nik Aziz.

Sebab itulah, PAS amat bertuah memiliki sosok sederhana tetapi berwibawa seperti Nik Aziz. Bahkan Pakatan Rakyat juga menumpang tuahnya. Orang Cina dan India bukan Islam, yang dahulu amat takut dengan Islam, kini semakin dekat dengan Islam.

Ketakutan terhadap hudud berganti dengan rasa ingin tahu mengenainya pula. Bahkan, mungkin mereka sendiri gembira jika pemimpin yang ada walaupun berbangsa Cina kuat pegangan agamanya seperti Nik Aziz. Tidak curang dengan keluarga, tidak rasuah dan salah guna kuasa.

Maka, inilah kelebihan yang diberikan Allah kepada Pakatan Rakyat. Saya yakin teramat yakin, selagi mana Nik Aziz masih bernyawa, maka beliau adalah faktor penyatu di dalam Pakatan Rakyat. Maka, semua pihak wajar memanfaatkan Nik Aziz. Bukan sekadar simbol ’Ketuanan Rakyat’ seperti mana Anwar Ibrahim...tetapi juga sebagai ’guru’ yang boleh menyelamatkan dalam bahtera akhirat...amin.

No comments:

Post a Comment