Showing posts with label Bahasa. Show all posts
Showing posts with label Bahasa. Show all posts

Monday, March 16, 2009

Berani sungguh Pak Samad


Saya meminati banyak karya Pak Samad. Setipis novelnya (Di hadapan Pulau) sehinggalah setebal-tebalnya…Salena…A. Samad Said adalah perakam waktu sejarah dalam dimensinya tersendiri.

Hari ini, A. Samad Said ‘mencemar’ imej ‘non-partisan’nya apabila mulai menunjukkan sikap kepedulian yang tinggi kepada isu bahasa. Ya, bahasa Melayu yang kata Hishamuddin ketua pemuda Umno… “Saya tidak sanggup menggadai bahasa dan nasib anak bangsa kita…”; namun pada masa yang sama dinafikan hak bahasa Melayu dan anak bangsa menekuninya di sekolah.

Kita semua sedar, agenda di sebalik perjuangan Pak Samad. Tiada nawaitu lain; bahkan beliau adalah pencinta bahasa Melayu yang sejati. Beliau berulang-kali menegaskan, bahawa sisa-sisa usia yang ada padanya akan dimanfaatkan untuk mengangkat kembali nasib bahasa Melayu.

Umno khususnya kepimpinan mereka berulang kali mengulang kalimah kebodohan, bahawa tokoh-tokoh bahasa dan sastera Melayu ini diperalat oleh pihak tertentu. Pihak manalah lagi jika bukan parti-parti yang berlambangkan bulan dan mata.

Namun mereka lupa, budaya memperalatkan pihak lain sebenarnya adalah budaya Umno. Siapakah yang memperalatkan pihak istana, polis, SPRM, SPR dan seluruh jentera kerajaan jika bukan Umno. Ini fakta bukan auta. Hanya budak belum mumaiyiz sahaja dapat dikelentong oleh Umno.

Bagi saya, Pak Samad adalah teramat cerdik untuk diperalat, maka beliau dimanfaat. Takkanlah Hishamuddin seorang menteri kepada para cikgu tak reti membezakan antara diperalat dan dimanfaat. Ataupun, dia jadi bebal dek kerana keangkuhan dan balasan Tuhan kerana suka menderhaka kepada bahasa dan bangsa sendiri! Lebih dahsyat kerana menderhaka kepada para maha guru bahasa Melayu.

Ha, ambik…di dunia lagi Tuhan dah kasi balasan!

Apabila seorang tua seperti Pak Samad menegur dengan berani, pastilah ada sebab yang kukuh. Puluhan tahun dulu, Pak Samad tak pernah sekali pun muncul di atas pentas politik…apatah lagi di sisi parti-parti yang dilabelkan ‘pembangkang’. Kala itu, Pak Samad nampak seakan memesrai parti-parti kerajaan.

Namun, semua itu dibuktikan tidak menjadi ‘pengikat’ kepada beliau. Siapa juga jika sudah terseleweng, maka hendaklah ditunjuk ajar. Walaupun namanya Pak Menteri atau siapa sahaja. Saya yakin, jika Anwar dan Hj. Hadi sendiri bersikap wewenang dengan bahasa Melayu, maka Pak Samad tidak segan silu akan menegur juga.

Inilah sikap Sasterawan Melayu sebenar. Menegakkan kebenaran bukan sekadar di dalam plot cerita novel dan cerpen; bahkan di alam nyata. Saya teringat salah sebuah karya Pak Samad, Daerah Zeni, adalah lakaran perjuangan bangsa melawan penjajah.

Mungkin kini, Lazri Meon si petapa tua dalam plot Daerah Zeni menjelma pada sekujur tubuh tua Pak Samad. Maka ungkapan Lazri Meon “aku akan menembak kepala si penjajah tepat di antara dua matanya”, kini menjadi ratib Pak Samad. Bezanya, sasarannya kini bukanlah penjajah sebaliknya warisan mereka yang tega membiarkan minda dipasung dan dijajah!

Siapa yang tidak teruja jika Pak Samad tanpa segan lagi silu menganjurkan Bahasa Undi sahaja dapat menyentak penutup pemikiran pemimpin Umno. Bahkan, kenyataan lebih pedas bahawa “undilah siapa sahaja selain Umno” benar-benar menjadi peluru senapang patah Lazri Meon yang merobek otak, hati dan usus para pemimpin Umno.

Maka, tidak hairan jugalah Hishamuddin bagaikan anak kecil yang menangis dengan perkembangan mutakhir ini. Kasihan…teringat saya watak kanak-kanak bernama Aziz di dalam novel Pak Samad ‘Di hadapan pulau’. Aziz terus termakan umpan untuk dibawa ke pulau di hadapan kampungnya…begitulah Hishamuddin, tak sedar bahawa nasibnya kini kian di hujung senja terus dipergulakan oleh pihak lain sehingga dia alpa nasibnya kini sudah tidak kemana.

Sepatutnya, para ahli Umno yang mengaku Melayu merasa malu, kerana mereka merestui segala tindakan jahat pemimpin mereka. Atas nama apa sekali pun, menafikan hak bahasa adalah satu jenayah. Sehingga kini, semua ahli Umno bersubahat melakukan jenayah bahasa dan bangsa di Malaysia. Sebab itulah mereka dihukum lagi dan lagi oleh mahkamah rakyat. Sayangnya, mereka terlalu ‘ghalit’ dengan kekuasaan yang berbaki, hingga sanggup mengabaikan peringatan demi peringatan yang diberi.

Kita tidak tahu apa lagi akan terjadi selepas ini. Situasi pasca 13 Mac 2008 nampaknya benar-benar tsunami yang terus melanda. Kini, 7 Mac 2009 ia bersambung lagi dengan tsunami bahasa. Mungkinkah tsunami berikutnya akan melenyapkan terus Umno dari atas dunia ini? He…he…biarkanlah luncai terjun dengan para labunya…

Friday, March 13, 2009

Aisyeh man...how do u do...

Tamsilan mudah seorang Tuan Guru:

“Kita mengajar budak-budak solat guna bahasa Melayu; nanti mereka solat dalam bahasa Arab. Demikianlah, ajar anak-anak sekolah matematik dalam bahasa Melayu, baharulah mereka mudah nak faham.”

Mudah dan jelas apa yang dikatakan oleh Tuan Guru Hj Hadi Awang. Tak tahulah saya, jika orang-orang Umno khususnya para tok dalang mereka ni tak reti bahasa Melayu. Maklumlah, deme mengaji di UK dan speaking London.

Ada cikgu yang saya tahu dia memang menyokong Umno, mempertahankan PPSMI. Katanya, eloklah dasar tu dipertahankan. Buat apa buat sekerat-sekerat.

Saya malas nak menempelak sama ada cikgu berkenaan atau mana-mana orang Umno. Tapi saya yakin 100%, jika saya challenge cikgu berkenaan membaca jawi (bukan baca al-Quran), gerenti kantoi punye lah...

Itulah dia Umno...masih nak berlagak lagi tu. Tak sedor diri langsung puak-puak ni. Mengaji quran pun pelat, membaca jawi pun gagap...belum suruh buat kali-kali dan darab bahagi dalam bahasa Inggeris lagi...pun nak berlagak mempertahankan bahasa Inggeris.

Semasa dalam sebuah seminar bersama firma audit di Lembah Kelang, saya diberikan sedikit peluang menerangkan kaedah-kaedah Islam meraikan kewangan. Saya dan sahabat membentangkan kertas kerja dalam bahasa Melayu. Bila habis, kami berkomunikasi dengan audiens.

Mereka bertanya bermacam-macam perkara. Sebelum penutup, saya menegaskan yang mereka bernasib baik kerana saya dan sahabat memberikan penerangan dalam bahasa Melayu, bukan Inggeris atau Arab. Jika tidak, mereka mungkin tidak faham...silap hari bulan, kami yang membentangkan pun tak faham.

Maka, kata saya...demikianlah nasib anak-anak kita di sekolah dan juga guru-guru mereka. Mereka dipaksa berbahasa Inggeris untuk memahami suatu ilmu yang sukar. Jika ibu bapa sendiri berasa sukar memahami ilmu taharah jika diajar dalam bahasa Arab, maka bagaimana pula ilmu yang bersifat konseptual dan formula seperti matematik dan sains?!

Saya juga merasa jengkel, apabila beberapa pemuka Umno bermati-matian mempertahankan bahasa penjajah ni. Hee...ikut hati, teman nak sambekan aje mulut deme tu. Makan pun belacan dan petai jering, sedar le diri awak tu Melayu.

Ini soal prinsip, soal dasar. Perlembagaan Malaysia jelas memberikan kedudukan tinggi kepada bahasa Melayu. Yang peliknya, parti Melayu yang paling ’power’...kononnyalah, tak sedor dah tinggai dahan kurus yang nak patah, akar umbi pun dah goyah...akor tunjang dah putuih...masih nak pertahankan.

Kita tunggu le...tak lame dah. Lepas ni, deme semuanye akan tersungkor ke bumi...bersama-sama pokok Umno mereka yang dah reput dan pemimpin mereka yang suka mengarut...masa tu bila kite jumpe puak-puak ni, kita kate ape ke demer...

”Aisyeh man...how do you do, ayam tak patuk itik tak sudu...ana belah dulu...”

Wednesday, February 25, 2009

Isu Bahasa, antara sejarah, kini dan masa depan...di mana kita?


Isu bahasa adalah amat sensitif. Ia adalah cerminan jiwa bangsa. Teringat saya kata-kata Tan Sri P. Ramlee…Bahasa jiwa bangsa, bahasa melambangkan bangsa.

Entah bagaimana, saya ditakdirkan Allah SWT lahir berbangsa Melayu. Sedari kecil hingga dewasa, saya bertutur dalam bahasa Melayu. Memang saya juga boleh sedikit-sedikit bertutur dalam bahasa Inggeris dan Arab, namun Melayu tetap menjadi nilai jati diri saya.

Semasa di sekolah rendah, saya belajar Ilmu Hisab, Ilmu Alam, Sejarah, Ilmu Sains dan sebagainya lagi. Apabila meningkat sedikit remaja, mata pelajaran itu telah ditukar namanya. Kini saya mempelajari matematik, sains awalan dan sains paduan, geografi dan sebagainya. Nampak…pengaruh bahasa asing sudah menjalar masuk ke dalam bahasa Melayu.

Namun, semakin remaja dan tabiat rajin membaca memberikan saya pendedahan lebih luas mengenai bahasa. Sungguh pun saya belajar di aliran sains, namun jiwa bahasa dan sastera Melayu masih menebal. Saya suka menemui perkataan-perkataan baharu. Sungguh…bahasa Melayu tidaklah tohor perbendaharaannya. Bahkan bahasa Melayu adalah antara bahasa yang amat mudah menerima pembaharuan dan penambahan.

Semasa di pendidikan tinggi, saya berjumpa pelbagai perkataan baharu yang asalnya jelas diambil daripada bahasa asing, sama ada Arab mahu pun Inggeris. Bahasa Arab sahaja telah memberikan nyawa kepada ribuan perkataan untuk bahasa Melayu. Ilmu, kalam, ghaib, niat, syukur, kitab, majlis dan sebagainya adalah berasal daripada bahasa Arab. Manakala bagi bahasa Inggeris pula, perkataan baharu seperti motivasi, intimidasi, inovasi dan sebagainya lagi yang ada ‘si’ di hujungnya, banyak diambil daripada bahasa Inggeris.

Nah! Demikianlah fleksibelnya (juga daripada flexible) bahasa Melayu. Bahasa-bahasa asing lain dengan mudah mampu meresap masuk. Dan saya melihat ia adalah kekuatan bahasa Melayu, bahawa ia adalah bahasa yang mampu berkembang dan tidak statik membeku.

Sesungguhnya juga bahasa Melayu juga kaya daripada aspek seni dan sasteranya. Pantun, sajak, gurindam, seloka dan sebagainya adalah bentuk puisi yang mengasyikkan. Manakala prosanya pula ditandai dengan cerpen dan novel yang pelbagai. Kewujudan pelbagai genre sastera seperti drama, cerpen, novel mahu pun esei kritikan menjadikan dunia sastera Melayu matang dan berkembang. Ini menandakan hebatnya bahasa Melayu.

Begitu juga, kesungguhan beberapa organisasi pemerkasa bahasa Melayu seperti Dewan Bahasa dan Pustaka juga Universiti Kebangsaan Malaysia, yang memang asal penubuhannya adalah untuk memperkasakan bahasa Melayu, telah memberikan harapan cerah kepada bahasa ini. Pelbagai bidang ilmu moden, seperti kejuruteraan, perubatan dan sebagainya mulai diwarnai dengan buku-buku berbahasa Melayu. Nampaknya, bahasa Melayu kian mendapat tempat yang istimewa.

Sayang seribu kali saying…segala kesungguhan kea rah memartabatkan bahasa Melayu mulai diregut secara kasar oleh Kerajaan Barisan Nasional. Atas nama mengejar permodenan dan kemajuan, maka bahasa Melayu makin dipinggirkan. Ia tidak lagi mendapat tempatnya yang sewajarnya, sebaliknya cuba disisih dan disimpan di dalam arkib sejarah. Ia hanya bahasa nostalgia. Bahasa murahan di dalam Dewan Sastera dan Budaya, tidak cocok membicarakan ilmu angkasa raya dan nuclear juga nano teknologi misalnya.

Maka, makin lama bahasa Melayu makin lemah. Anak-anak Melayu yang cerdik tidak lagi diasuh pemikirannya dengan prosa dan puisi yang halus mulus. Tinggallah mereka yang kurang cerdik mengulit naskhah A. Samad Said dan Shahnon Ahmad. Atau tunggang-terbalik mengkaji puisi Melayu yang dianggap tiada langsung masa hadapannya.

Salah siapakah semua ini? Panjangnya penulisan...sedang A. Samad Said sudah menyatakan...tindakan tidak bertanggungjawab dan jauh daripada hemah inilah kelak yang akan menggelapkan anak bangsa.

Katanya..."Saya sanggup dengan rela diri sekiranya ada orang ingin menarik balik gelaran Sasterawan Negara asalkan bahasa ibunda saya dikekalkan. Tiada gunanya gelaran tersebut kerana ia bukannya milik kekal dan saya adalah 'Sasterawan Rakyat' yang akan terus berjuang demi anak cucu bangsa Melayu. Saya bimbang sekiranya kita tiada nanti, anak cucu kita akan hairan apakah bahasa ibunda mereka nanti."