Monday, March 16, 2009

Berani sungguh Pak Samad


Saya meminati banyak karya Pak Samad. Setipis novelnya (Di hadapan Pulau) sehinggalah setebal-tebalnya…Salena…A. Samad Said adalah perakam waktu sejarah dalam dimensinya tersendiri.

Hari ini, A. Samad Said ‘mencemar’ imej ‘non-partisan’nya apabila mulai menunjukkan sikap kepedulian yang tinggi kepada isu bahasa. Ya, bahasa Melayu yang kata Hishamuddin ketua pemuda Umno… “Saya tidak sanggup menggadai bahasa dan nasib anak bangsa kita…”; namun pada masa yang sama dinafikan hak bahasa Melayu dan anak bangsa menekuninya di sekolah.

Kita semua sedar, agenda di sebalik perjuangan Pak Samad. Tiada nawaitu lain; bahkan beliau adalah pencinta bahasa Melayu yang sejati. Beliau berulang-kali menegaskan, bahawa sisa-sisa usia yang ada padanya akan dimanfaatkan untuk mengangkat kembali nasib bahasa Melayu.

Umno khususnya kepimpinan mereka berulang kali mengulang kalimah kebodohan, bahawa tokoh-tokoh bahasa dan sastera Melayu ini diperalat oleh pihak tertentu. Pihak manalah lagi jika bukan parti-parti yang berlambangkan bulan dan mata.

Namun mereka lupa, budaya memperalatkan pihak lain sebenarnya adalah budaya Umno. Siapakah yang memperalatkan pihak istana, polis, SPRM, SPR dan seluruh jentera kerajaan jika bukan Umno. Ini fakta bukan auta. Hanya budak belum mumaiyiz sahaja dapat dikelentong oleh Umno.

Bagi saya, Pak Samad adalah teramat cerdik untuk diperalat, maka beliau dimanfaat. Takkanlah Hishamuddin seorang menteri kepada para cikgu tak reti membezakan antara diperalat dan dimanfaat. Ataupun, dia jadi bebal dek kerana keangkuhan dan balasan Tuhan kerana suka menderhaka kepada bahasa dan bangsa sendiri! Lebih dahsyat kerana menderhaka kepada para maha guru bahasa Melayu.

Ha, ambik…di dunia lagi Tuhan dah kasi balasan!

Apabila seorang tua seperti Pak Samad menegur dengan berani, pastilah ada sebab yang kukuh. Puluhan tahun dulu, Pak Samad tak pernah sekali pun muncul di atas pentas politik…apatah lagi di sisi parti-parti yang dilabelkan ‘pembangkang’. Kala itu, Pak Samad nampak seakan memesrai parti-parti kerajaan.

Namun, semua itu dibuktikan tidak menjadi ‘pengikat’ kepada beliau. Siapa juga jika sudah terseleweng, maka hendaklah ditunjuk ajar. Walaupun namanya Pak Menteri atau siapa sahaja. Saya yakin, jika Anwar dan Hj. Hadi sendiri bersikap wewenang dengan bahasa Melayu, maka Pak Samad tidak segan silu akan menegur juga.

Inilah sikap Sasterawan Melayu sebenar. Menegakkan kebenaran bukan sekadar di dalam plot cerita novel dan cerpen; bahkan di alam nyata. Saya teringat salah sebuah karya Pak Samad, Daerah Zeni, adalah lakaran perjuangan bangsa melawan penjajah.

Mungkin kini, Lazri Meon si petapa tua dalam plot Daerah Zeni menjelma pada sekujur tubuh tua Pak Samad. Maka ungkapan Lazri Meon “aku akan menembak kepala si penjajah tepat di antara dua matanya”, kini menjadi ratib Pak Samad. Bezanya, sasarannya kini bukanlah penjajah sebaliknya warisan mereka yang tega membiarkan minda dipasung dan dijajah!

Siapa yang tidak teruja jika Pak Samad tanpa segan lagi silu menganjurkan Bahasa Undi sahaja dapat menyentak penutup pemikiran pemimpin Umno. Bahkan, kenyataan lebih pedas bahawa “undilah siapa sahaja selain Umno” benar-benar menjadi peluru senapang patah Lazri Meon yang merobek otak, hati dan usus para pemimpin Umno.

Maka, tidak hairan jugalah Hishamuddin bagaikan anak kecil yang menangis dengan perkembangan mutakhir ini. Kasihan…teringat saya watak kanak-kanak bernama Aziz di dalam novel Pak Samad ‘Di hadapan pulau’. Aziz terus termakan umpan untuk dibawa ke pulau di hadapan kampungnya…begitulah Hishamuddin, tak sedar bahawa nasibnya kini kian di hujung senja terus dipergulakan oleh pihak lain sehingga dia alpa nasibnya kini sudah tidak kemana.

Sepatutnya, para ahli Umno yang mengaku Melayu merasa malu, kerana mereka merestui segala tindakan jahat pemimpin mereka. Atas nama apa sekali pun, menafikan hak bahasa adalah satu jenayah. Sehingga kini, semua ahli Umno bersubahat melakukan jenayah bahasa dan bangsa di Malaysia. Sebab itulah mereka dihukum lagi dan lagi oleh mahkamah rakyat. Sayangnya, mereka terlalu ‘ghalit’ dengan kekuasaan yang berbaki, hingga sanggup mengabaikan peringatan demi peringatan yang diberi.

Kita tidak tahu apa lagi akan terjadi selepas ini. Situasi pasca 13 Mac 2008 nampaknya benar-benar tsunami yang terus melanda. Kini, 7 Mac 2009 ia bersambung lagi dengan tsunami bahasa. Mungkinkah tsunami berikutnya akan melenyapkan terus Umno dari atas dunia ini? He…he…biarkanlah luncai terjun dengan para labunya…

No comments:

Post a Comment