Tuesday, March 3, 2009

Tragedi Perlembagaan Paling Sadis Abad Ini


Tiada istilah yang dapat disebut bagi menjelaskan semua insiden yang terjadi. Kecaman dan kejian sudah lali. Namun semuanya berlegar dalam ruang yang terhad. Tiada media massa meluas buat menyampaikannya kepada denyut nadi setiap pengundi. Semuanya ditapis dan disaring. Apa yang ada hanyalah putar belit keadaan dan berita kepalsuan!


Remuk redam hati saya selaku rakyat Perak, menyaksikan betapa kolotnya pemikiran segelintir manusia yang hitam legam hatinya dan berkarat dengan kedunguan pemikirannya, cuba menafikan kebenaran dengan pembohongan. Terasa betapa hodohnya wajah mereka, walaupun wajah itu cuba diberikan sepuhan indah menerusi wadah media. Hodoh sehingga sukar digambarkan lagi.

Perak Darul Ridzuan, menancap satu lembaran baharu dalam sejarah peradaban moden manusia di Malaysia. Siapa yang menyangka, di sebalik wayang kehebatan dengan pelbagai gelaran dan pangkat kebesaran, tersimpan wajah-wajah kusam penuh dendam yang merosakkan.

Semuanya bermula dengan satu kalimah: Kuasa!

Kuasa, yang dengannya dapat menundukkan manusia lain dan dengannya juga dapat memuaskan nafsu serakah sendiri. Kuasa yang dengannya segala dapat dibeli, dijual dan dinafi. Kuasa yang dengannya menjadikan salah itu betul dan benar itu salah. Kuasa yang dengannya menyumbat orang alim dan baik ke penjara dan penjenayah bebas tanpa dosa!

Inilah kemelutnya. Aduhai…remuk-redam hati kecil saya, melihat perlakuan manusia rakus di Perak. Apakah mereka ini sudah lupa, bahawa negara ini demokrasi, negara ini ada paksinya, undang-undang dan perlembagaan dijadikan pegangan. Sudahlah al-Quran diletak ke tepi, undang-undang yang mereka gubal dan luluskan sendiri, pun mahu dicampak ke tepi.

Apa dosa kami rakyat Perak? Apakah bersalah memilih pemimpin yang kami suka melalui jalan demokrasi. Apakah salah bagi kami rakyat Perak, untuk merasa pemerintah baru di bumi bertuah kami? Apakah salah kami menukar pemerintah lama yang sudah 50 tahun berkuasa tanpa sempadan? Apakah satu dosa kami mempunyai exco yang terdiri daripada bangsa cina; tetapi mereka tidak rakus memonopoli harta?

Apakah salah kami memilih semua ini? Adakah termaktub dalam perlembagaan bahawa seorang speaker boleh diperlekehkan oleh ‘orang suruhannya’. Sudah terbalikah dunia ini? Sudah mahu kiamatkah negeri kami? Apakah negeri yang kami sayangi ini akan hancur luluh menjadi puing-puing sejarah? Adakah seorang anak ‘biadap’ dari Pekan, Pahang akan melenyapkan kedaulatan negeri kami?

Kami rakyat Perak tidak reda dan sekali-kali tidak akan pernah reda. Setiap keringat kami yang gugur bagi memenangkan kerajaan kami, adalah mahal harganya. Ia juga menuntut kami menitiskan air mata bahkan darah merah. Kami berusaha menerusi cara yang halal, menerusi demokrasi, menerusi pilihan raya yang sah dan diiktiraf undang-undang.

Kenapakah, setelah kami rakyat Perak bersatu hati memilih orang yang lebih baik dari ‘gerombolan’ rakus dan ‘penikus’; maka pilihan kami dinafikan. Apakah kami ini rakyat Perak kelas kedua. Apakah kami hanya penumpang di negeri kami sendiri. Apa kami tidak layak bersuara?

Sudah tiba masanya, mari kita solat hajat saban malam. Kita panjatkan doa dalam sujud. Kita adukan kepada Tuhan. Kita mohon pertolongan daripad al-Khalik. Allah adalah wali kita. Setiap yang berlaku, maka kita catatkan tanpa reda. Bahawa kita tetap dengan pendirian. Bahawa Allah tetap bersama orang yang benar. Bahawa kejahatan akan jatuh dan lenyap ditelan bumi.

Marilah, kita kukuhkan hubungan dengan Allah. Pasakkan dalam hati, kemenangan milik orang yang benar. Tanamkan dalam jiwa, kekalahan akan menimpa golongan yang salah.

Biarlah pokok hijau itu menjadi saksi keutuhan kita. Pemimpin yang sejati disokong oleh rakyat yang bersatu hati. Melayu, cina dan India, kami semua adalah rakyat yang sama. Kami tidak akan lari dari medan jihad kami. Ir Nizar pemimpin kami, sampai kami mati.

Biarlah pokok hijau dan hamparan rumput itu menjadi saksi di hadapan Allah. Kami bai’ahkan janji setia. Seperti mana bai’ah rasululullah dan para sahabatnya di sisi Hudaibiyah. Insya-Allah…fajar akan menyinsing esok hari dan kemenangan kita, PR adalah pasti!

Allahuakhbar!

No comments:

Post a Comment