Tuesday, March 24, 2009

Lihatlah mereka...

Kita ini makhluk
Sama sahaja dengan segala makhluk yang lain
Haiwan ternak maupun yang liar di hutan
Bezanya, kita diberikan akal
Sedang para haiwan itu hanya ada nafsu

Namun
Manusia hari ini ramai berpandukan nafsu
Nafsu untuk berkuasa
Nafsu untuk berharta
Nafsu untuk segala
Maka jadilah mereka seperti haiwan liar
Yang berpandukan nafsu semata

Dalam pada itu
Ada manusia menjaja diri
”Pilihlah saya, jangan pilih dia”
Tak cukup kempen, wang diberi
Tak cukup wang, ugutan diberi
Tak cukup ugutan, ada yang dibawa lari

Inilah kerjanya
Membutakan rakyat yang telah jaga
Menulikan rakyat yang sentiasa peka
Membodohkan rakyat yang telah bijaksana
Dengan gula-gula politik murahan mereka
Umpan projek sempena pilihanraya

Lihatlah mereka
Berhimpun demi menegakkan kepalsuan
Biar dunia menyatakan mereka sesat
Mereka kekal dalam taat
Mereka menjulang suara keramat
”Hidup Melayu dengan keris berkarat’
Walau anak bangsa menjadi bangsat
Dalam penagihan dadah dan berakhlak bejat
Peduli apa asal tertunai hajat

Kini mereka
Sedang asyik mengira laba
Sedang tekun menyusun strategi
Sedang ghairah ’membeli hati’
Sedang leka mengumpul undi
Sedang ghaplah menanti hari

Esok aku jadi Presiden
Lusa aku jadi Perdana Menteri
Tulat aku akan rombak kabinet menteri
Tunggeng aku akan tukar MB dan Ketua Menteri
Langgang aku rampas lagi negeri

Itulah
Bila mata hati sudah buta
Maka dia tidak fikir dosa dan pahala
Maka dia tidak hirau syurga dan neraka
Maka dia tidak ingat siksa kubur atau apa-apa

Kerana
Dia hanya ingat satu perkara
Presiden dan Menteri Perdana
Wang banyak dan singgahsana
Perempuan lawa dan harta benda

Lalu
Tenggelamlah dia dan mereka dalam syurga
Sedang di dasarnya adalah NERAKA!

Huzaifah Ahmad Yamani
Kuale,
23 Mac 2009 / 10.48 pm

No comments:

Post a Comment