Thursday, March 5, 2009

Jangan ada lagi persidangan di bawah pokok kali ke-2!


Bukan mudah menggertak saki-baki gerombolan Umno. Apatah lagi jika mereka adalah entiti yang tampak kukuh dan tidak bergantung kepada kerajaan negeri yang dimenangi PR. Saya melihat, mereka makin memperkukuhkan ’imuniti’ masing-masing. Atas apa sahaja nama atau simbol, yang penting legasi mereka (baca legasi Umno) kekal dan berterusan.

Secara jujurnya, saya memberikan tanda bagus kepada akhbar Harakah edisi Isnin, 2 Mac 2009, yang menyiarkan sebuah artikel bertajuk ’Pakatan naif berpolitik’. Sedar atau pura-pura tidak, apa yang ditegur oleh penulis berkenaan telah lama digembar-gemburkan oleh kita semua. Hingga ada yang sampai ke tahap dah naik ’merajuk’ dan ’malas’ dah nak menegur.

Kerajaan Umno – BN, bukan setahun atau sepenggal menerajui Malaysia. Kecuali Kelantan dan Terengganu, mungkin Sabah...mereka adalah ’absolute’ power...hinggalah ia dinafikan secara ’terhormat’ oleh undi rakyat Mac 08 lalu.

Saya membayangkan, dengan penguasaan yang begitu punya lama, jangankan pegawai atasan mesti bercop ’dacing’; bahkan semua rangkaian organisasi yang ada ketua, maka ketuanya itu mestilah bercop dacing juga.

Maka itulah, di Selangor dan Perak misalnya, kini kian terserlah ’kedacingan’ mereka. Inilah yang dimaksudkan kenaifan pemimpin PR dalam berpolitik. Gagal membaca apa yang bakal terjadi, sekurang-kurangnya bijak mengatur rencana agar mampu ’mengekang’ pergerakan Umno – BN.

Kita ahli-ahli bawahan dalam gabungan PR, merasa kesal sebenarnya apabila suara-suara kita dipandang sepi tanpa tindakan. Kepimpinan PR yang diharap mampu merealisasikan segala canang dan kata-kata lewat kempen pilihan raya, nampak melencong apabila bergelar MB dan exco.

Malaslah nak menyenaraikan siapa mereka dan apa yang dijanjikan...bukan ada kesan apa-apa pun. Sudah ’berbuih’ mulut memberi ingat, sudah berpuluh SMS dikirim, sudah berkali panggilan telefon tidak dilayan...apa lagi yang nak diharapkan?

Sebab itu, pemimpin PR kena cekatan dalam permainan politik Malaysia. Tiada istilah ’kasihan belas’ apabila berdepan dengan Umno. Mereka adalah seburuk-buruk parti di atas bumi Malaysia ini. Demi kuasa, mereka sanggup menongkah apa sahaja, sanggup menelan apa sahaja kata-kata orang, yang penting K.U.A.S.A!

Adakah kita mahu menunggu Nizar ke-2 atau Perak ke-2 baharu mahu bertindak? Saat itu sudah terlewat. Saat itu tiada gunanya lagi usul diluluskan, kerana kuasa Speaker DUN hanya layak diterima jika BN yang berkuasa. Saya enggan menyaksikan, sidang di bawah pokok sena kali ke-2, terjadi lagi selepas ini...di mana-mana!

No comments:

Post a Comment