Showing posts with label Story. Show all posts
Showing posts with label Story. Show all posts

Wednesday, April 8, 2009

Nak tau apa kelemahan Umno..?

Nak tau apa kelemahan Umno…(pasai depa asyik dok nak kaji, apa punca rakyat tolak depa la ni…)

Wahai kawan-kawanku di dalam Umno, dek rasa kasihan belas yang amat tinggi di sanubari ini, maka teman pun dengan ikhlas hati mahu menurunkan beberapa kelemahan Umno. Moga-moga, lepas dari ini idak le lagi mekeme semua penin-penin memikio, membuat post-mortem dan suruhanjaya, demi mencari punca kekalahan mike dalam banyak pilihanraya kebelakangan ini.

Satu: Pemimpin Umno semuanya alim lagi warak. Ha…inilah puncanya, sebab pemimpin PR, baik PAS, PKR dan DAP mana alim apatah lagi warak. Hish…jika nak dibandingkan dengan Najib….kalah le Hj Hadi. Najib setakat kitab Matan Arbain tu dah lunyai dah dia hafal, Matala’al Badrain lagi le…pendek kata, memang alimlah si Najib. Hj Hadi…alah…mengaji takat mana je…entah-entah kitab Mari Bersolat pun tak khatam apa?

Dua: Jujur dan takwa pakaian pemimpin Umno. Yang ini…memang teman tabik spring kepada pemimpin-pemimpin Umno. Che mike chegoye tengok…Muhyidin Yasin setakat naik jadi imam itu perkara biasa. Memang tinggi iman dan takwanya, manalah nak dibandingkan dengan Anwar Ibrahim. Anwar jadi imam pun agaknya terketor-ketor…Muhyidin relaks je. Cuba perhatikan ketua wanita Umno…hui…tinggi takwanya, memang bertaraf mujahidah, mana ketua wanita keAdilan atau PAS mampu challenge…tak mampu punya!

Tiga: Komitted dan mesra rakyat. Yang ini pun hanya diungguli oleh kepimpinan Umno. Cuba perhatikan, semasa berlaku apa-apa insiden seperti banjir dan tanah runtuh, deme le yang ke depan. Sanggup tido sebangsal dengan rakyat. Deme le yang sanggup nitik ayo mata bila tengak rakyat hidup susah di rumah setinggan. Deme mana sanggup runtuhkan rumah setinggan. Hanya pemimpin PR je yang tak berapa peduli nasib rakyat…yang deme tahu, hanya turun sekali-sekala ngulo bantuan je…manalah nak terlawan hebatnya pemimpin Umno.

Empat: Berilmu dan berkemahiran. Isk…mana ada pemimpin PR yang hebat-hebat. Kelulusan deme pun setakat darjah enam je, paling tinggi SRP dan STPM. Paling ghamei hanya ada kelulusan SPM. Dalam PAS lagi le, setakat sekolah pondok je…mana tau bahasa asing. Ini jika nak dibandingkan dengan pemimpin Umno, yang ber’PhD’…uish, usah dihitung le lagi…ghamei. Setakat diploma dan master, em…udah tak terhitung. Bidang apa yang deme tak ade, sebut je…jadi, manalah pemimpin PR nak terlawan.

Lima: Role model dan berakhlak. Ikh…yang ini lagi le malu…pemimpin Umno semuanya hebat, berakhlak mulia. Pendek kata, bab akhlak ni memang tak leh lawan. Nik Aziz pun kalah dibuatnya. Mana ada deme terlibat dengan skandal apa-apa, wanita ke, rampas kuasa ke, apa ke…sebab itu pemimpin PR penin nak saingi pemimpin Umno.

Ha…itulah dahulu serba sedikit punca kekalahan Umno dalam pelbagai pilihanraya. Yang di Batang Ai tu menang sebab, dia bukan Umno. Jika dia Umno, mesti dia pun kaki solat, tak salah guna kuasa dan teman gerenti…dia mesti kalah punye. Lebih baik deme undi wakil PKR…sebabnya dia kan bodoh, tak tinggi mengaji, jadi senang le nak dibeli ke atau apa-apa sahaja.

So, kesimpulannya…pemimpin Umno kena berubah, iaitu deme mestilah menjadi GANAS, BRUTAL, TANGKAI JERING, PILIH KASIH, SALAH GUNA KUASA dan sebagainya lagi, jika deme teringin nak menang balik pilihan raya. Jika tidak…hm…good bye forever le jawabnya…

Sunday, April 5, 2009

Dr M Kembali (Hati-hati…jangan sakit jantung lagi)


Semasa dulu, Zunar pernah menggambarkan Mahathir sebagai PM yang paling lama duduk di kerusi itu sehingga jika boleh membawa ke mati. Saya masih ingat lukisan Zunar, betapa berkedutnya muka Mahathir; namun kerepot wajahnya tidak sebanding dengan hidungnya yang kian membesar. Kata Zunar, hidung yang kian membesar itulah lambang keegoaan Mahathir!

Kini, di Bukit Gantang Mahathir kembali beraksi. Saya terkerising mengenangkan betapa ketegarnya orang tua ini. Mungkin Siti Hasmah pun dah habis ikhtiar, bagaimana nak pujuk suaminya agar berenti daripada menyibukkan diri dengan kemelut politik ini.

Sebenarnya, Mahathir memang tak pernah bersedia untuk melepaskan jawatan PM. Benarlah apa yang telah digambarkan oleh Zunar, jika boleh Mahathir mahu mati keras di atas kerusi PM itu. Dia masih tak puas memerintah Malaysia walau sudah 22 tahun menempek di mahligai Corcosa Sri Perdana dan kemudiannya di Putrajaya. Jika boleh, dia mungkin nak jadi PM sepanjang usia...

Sebab itulah, Mahathir jadi cengeh tak menentu bila Pak Lah naik jadi PM dan mula engkar ’kehendak’ dia. Mahathir tambah meroyan bila anak menantu Pak Lah yang menjadi penasihat. Pasai apa Pak Lah abaikan Mahathir, sedangkan dia yang lantik Pak Lah. Memang kuang hajo Pak Lah, maka sejak dari itu Pak Lah adalah musuh Mahathir hingga memaksa dia belah dari Umno!

Mahathir mula memikio, apakah caranya agar Pak Lah turun takhta. Maka, Najiblah sandarannya. Maka, saki-baki pengaruh yang dok ada kena dipertahankan. Selain itu, satu-satunya waris Mahathir iaitu Mukhriz kena dimenangkan. Hm...sebenarnya, saya yakin bahawa Mahathir juga mungkin dok berangan agar Mukhriz kelak mampu menjadi PM sepertinya. Sayangnya...Mukhriz kantoi dibelasah Khairy...lagi le bengang orang tua ni!

Demi menunjukkan Najib membawa kesegaran baru kepada Umno dan negara, maka Mahathir sanggup melanggar pantang turun berkempen di Bukit Gantang. Bukannya apa, jika BN menang di 3 PRK kali ini, maka senyaplah segala cemuhan bahawa pertukaran Pak Lah dan Najib hanyalah kosmetik politik Umno semata yang tidak mampu memberikan apa-apa kesan signifikan kepada parti paling reput itu dan juga kerajaan BN yang la ni dah tinggal akar serabut tua. Akar tunjangnya dah lama putus...iaitu sejak Anwar diaibkan, kini akar serabutnya pun koho dok putus...semalam, 6000 lagi akar serabutnya terputus!

Mahathir mahu Najib mengikut katanya, tak macam Pak Lah yang degil dalam lembut. Bio Najib nak tunjuk kuat atau ihsan dengan bebaskan tahanan ISA dan harakah juga KeAdilan, tak apa...asalkan Najib follow Mahathir punya arahan. Jangan tak tau, entah-entah pembebasan itu semua pun atas nasihat Mahathir. Nak harap Najib, dia hanya tau angguk kehendak bininya sahaja.

Maka, berkokok berderailah Mahathir di Bukit Gantang. Peninglah Marina Mahathir, kenangan daddynya yang dioperate di IJN pun belum pulih, la ni daddynya dah langgar pantang. Apakah lepas ini dia kena kembali berumah di IJN? Apakah lepas ini dia kena tulih blog lagi...ada ka si Rocky nak beri sokongan moral lagi kepadanya...adakah lepas ini nak kena multi-faith prayer lagi...pening si Marina.

Namun, paling sedih dengan Siti Hasmah...apakah jika suaminya kembali ke IJN, maka ada jaminan semuanya akan pulih belaka. Maka Siti Hasmah pun berseloka...

”Tuailah padi di atas bukit, padi yang masak berwarna emas; apalah nak diharap orang yang sakit, lepas nolong orang kita yang lemas...hu...hu...”

Friday, April 3, 2009

Khir Toyo mungkin jadi bisnes man lepas ni


Khir Toyo sudah kalah dalam pemilihan agung Umno. Asalnya, peluang dia mungkin cerah. Maklumlah, wajahnya pun sudah cerah bercahaya, akibat tabiat pemakanan tempenya yang berkesan. Sayangnya, sata-saat dia nak masuk liga dan bersaing dengan Khairy dan Mukhriz itulah, kerajaan PR Selangor mula menyelongkar segala ‘khazanah’ tinggalan Khir sewaktu menjadi MB.

Khir mungkin bengang, isk…bukan mungkin, dia memang bengang. Bengang gile kata budak-budak sekarang. Sebab itu dia keluar statement dalam news paper, ada usaha mensabotaj dirinya yang didalangi oleh orang dalam Umno sendiri dan berkerjasama dengan parti lawan.

Saya sengih sampai ke telinga, itulah Khir yang sudah mula gelabah. Jika semasa pencalonan dahulu memang dia antara calon favourite. Kini, dia dah corot!

Saya tak pelik, bagaimana PNSB mengeluarkan wang yang begitu banyak bagi keselesaan Khir. Sebabnya, memang tabiat Umno untuk menyedut apa sahaja kemudahan yang ada, demi kesenangan diri. Khir ini hanya tak bernasib baik, kerana Selangor kini dikuasai PR. Jika tidak, mungkin dia sudah menang besar dalam pemilihan ketua pemuda Umno.

Bertuah sungguh Khir anak beranak, berjalan pusing dunia hingga ke Disneyland pun dibiayai oleh PNSB. Memang bertuah, memang mereka manusia pilihan. Maklumlah, jika rakyat biasa siapa yang mampu ditaja ke mana-mana sahaja. Semuanya kena mengeluarkan duit dan belanja. Jika tidak ada duit, maka duduk diamlah di rumah. Tengoklah muka anak bini lepas sorang…sorang!

Kini, Khir mungkin sedang termenung di meja makan sambil mengenangkan hala tuju dirinya selepas ini. Mungkin dia teringat, lebih baik sahaja membuka Klinik Gigi dan di samping itu menjual tempe. Maklumlah…bukan senang nak cari doktor gigi sehensem Khir yang mengamalkan tempe sebagai petua awet muda. Inilah masanya Khir mencuba bisnes pula.

Thursday, April 2, 2009

Datuk Siti pun ‘tunduk’ kepada Nik Aziz


Dalam negara ini, saya berani kata…rakyat kita boleh dibahagikan kepada beberapa segmen. Jika mereka minat bola, maka ada idola mereka sendiri. Jika mereka minat artis, maka Siti antara idola mereka, selain Mawi dan Jamal. Jika mereka minat politik, mungkin Anwar dan Nik Aziz. Jika mereka kaki filem, mungkin Rosyam Nor. Jika mereka orang akademik, mungkin Ungku Aziz.

Demikianlah manusia…sebab itulah, apabila Datuk Siti Nurhaliza dan suaminya Datuk K, menemui Tuan Guru Nik Aziz…maka apa yang saya bayangkan?

Ya, ia wajar ditauladani oleh jutaan peminat Siti. Bahawa, idola dan pujaan mereka juga, hakikatnya mempunyai idola dan pujaan hatinya sendiri, iaitu Tuan Guru Nik Aziz. Maka, wajarlah ia diajdikan contoh dan pengajaran.

Nik Aziz hakikatnya dikagumi bukan sahaja oleh Siti, bahkan Amy Search juga. Bahkan saya teramat yakin, ramai lagi artis yang mengagumi tok guru mursyidul am ini. Kenapa? Ya, kerana ‘kesederhanaan’ yang menjadi pakaian dirinya. Tidak ‘berlagak’ tak tentu fasal walaupun ‘jubah’ agawaman dan menteri besar juga dibadannya.

Inilah rahsia Nik Aziz. Saya yakin, jika diberikan peluang kepada rakyat Malaysia untuk memilih pemimpin paling utama memimpin negara ini, maka Nik Aziz boleh mengalahkan Najib. Ini kerana, Nik Aziz sudah membuktikan bahawa gaya kepimpinannya di Kelantan merentasi sempadan bangsa dan agama. Bahkan, ia dikagumi dan diiktiraf oleh pelbagai lapisan masyarakat di sana.

Maka, apa lagi bagi orang-orang kebiasaan yang tidak pun bertaraf VIP atau selebriti. Malulah kepada Datuk Siti…beliau sendiri mengagumi dan menghormati Nik Aziz. Jika orang Islam sendiri, khususnya di Malaysia masih mempertikaikan ajaran Nik Aziz, memperlekehkan kepimpinannya…paling penting, menolak ajakannya kepada Islam.

Nik Aziz adalah asset PAS dan Pakatan Rakyat. Maka, nasihat saya…manfaatkanlah beliau sebaik-baiknya demi perjuangan dan kemenangan kita, insya-Allah PAS dan Pr akan berjaya.

Monday, March 23, 2009

Dalam suka ada duka


Sms bertalu-talu. Harakah digantung! Apa nak buat? Aduhai…saya bukannya Ketua Pengarang Harakah. Setahu saya, Cikgu Pa dahulu yang memegang permit Harakah. Tanyalah kepada Cikgu Pa. Tidak pun, Sms dan telefonlah Sdr Lutfi. Lutfikan Pengarang Harakah.

“Ini buah tangan pertama Najib.” Balas saya kepada banyak-banyak Sms tersebut.

Ya…apabila membaca tulisan Lutfi, saya sependapat 100%. Inilah kekejaman kebebasan media terlampau yang pernah dihadapkan kepada Harakah. Sungguh pun hayat perkhidmatan saya bersama Harakah tidak lama, tetapi hakikatnya akhbar berkenaan amat ‘menyengat’ kepada masyarakat.

Saya pernah suatu ketika dahulu, bersama-sama Sdr Azmi yang kini ditugaskan ke Harakah Terengganu, membuat liputan dan mewakili Harakah ke mana-mana persidangan media. Nak tahu, kami wakil Harakah amat dipandang mulia oleh wartawan media lain. Waktu solat, kami dikehadapankan sebagai imam.

“Harakah Islamik…” Kata mereka.

Apakah jadahnya maka arahan undur 100 tapak ke belakang itu dikeluarkan? Kerja siapa? Saya optimis, ini kerja Najib. Saya ulangi, saya yakin…amat yakin, ini kerja buat Najib.

Najib Toya ini memang manusia paling tak guna selepas Mahathir yang saya pernah jumpa. Jika Mahathir perosak institusi kehakiman negara; Najib pula perosak keamanan rakyat. Sejahat-jahat Mahathir, dia tidak pernah dikaitkan dengan insiden ‘pembunuhan.’ Tapi Najib, awal-awal lagi bau badannya penuh dengan hamis peluh gadis ‘Monggolia’ dan tengit C4!

Najib membawa petaka besar kepada Malaysia. Inilah adalah langkah awal yang saya yakini, kelak jika si haprak ini menduduki kerusi PM, makin banyak petaka akan dibawa. Sebab itulah, saya menegaskan apakah tindakan PR?

Namun, dalam kesedihan kerana mengenangkan Harakah dan juga Suara KeAdilan yang dipancung dan dikembirikan, hati saya berbalut kelegaan apabila YB Nizar diumum secara rasmi menjadi calon Parlimen Bukit Gantang.

“Alhamdulillah…”

Sedari awal, saya meletakkan calon sebagai favourite candidate saya, mengatasi yang lain. Apabila orang bertanya, jawab saya “Nizar.”

Nizar tak perlu diperkenalkan lagi. Wibawanya mengatasi sesiapa sahaja dari PAS di Perak hari ini. Saya yakin, insya-Allah…Nizar akan menang penuh kejayaan nanti.

Amin.

Tuesday, March 10, 2009

Nik Aziz dalam dakapan rindu...

Pemimpin yang adil amat dikehendaki
Penyelamat ummah dunia dan akhirat
Tanpa keadilan dunia akan huru-hara
Pemimpin menanggung dosa rakyatnya

Pemimpin yang adil orangnya tawadhuk
Sangat sayang pada rakyatnya
Rakyat diajak mentaati Allah

Pemimpin yang adil mengutamakan akhirat
Menyelamatkan rakyat dari tipu dunia
Akhlak yang tawadhuk pakaian dirinya
Rakyat sayang bukan takut padanya...

Demikianlah antara bait-bait lagu nyanyian kumpulan Nada Murni suatu masa dahulu. Entahlah mereka menujukan kepada siapa ’pemimpin’ berkenaan, namun yang utama ialah isinya amat menarik sekali.

Saya tak tahu siapa yang mencipta lirik di atas. Ia bukan sekadar puitis; namun memberikan panduan berguna buat kita, sama ada mahu menjadi seorang pemimpin mahu pun semasa kita memilih pemimpin.

Semasa itu, saya di tahun-tahun awal pengajian di kampus. Amat terkesan dengan lagu berkenaan, menyebabkan saya sentiasa membanding-tarakan watak pemimpin bayangan tersebut dengan pemimpin-pemimpin yang ada di hadapan mata.

Satu-persatu senarai pemimpin itu saya bandingkan, dan satu demi satu juga saya sisihkan mereka ke tepi. Hinggalah akhirnya, saya temui sedikit sebanyak watak-watak itu pada diri Tuan Guru Nik Aziz...ya, beliau mempunyai ciri-ciri pemimpin yang digambarkan.

Wataknya amat sederhana, sering menasihati rakyat jelata tentang dosa dan pahala, adil dalam menunaikan amanah kuasa, tawadhuk tiada ego lagi takabbur dengan kuasa, mengutamakan akhirat berbanding dunia, baik akhlak lagi terpuji peribadinya dan pelbagai lagi ciri-ciri utama pemimpin bayangan yang sentiasa didambakan manusia.

Nik Aziz hakikatnya bukan sahaja disayangi oleh rakyat Kelantan, bahkan seluruh Malaysia. Ke mana sahaja beliau pergi, rakyat berbondong-bondong mendampinginya. Melihat wajahnya sahaja sudah menenangkan hati dan memberikan suntikan motivasi. Mendengar suaranya sahaja sudah menyedarkan diri tentang kehidupan yang singkat ini, dan apakah persiapan menuju mati.

Ketika Sasterawan Negara Datuk Shahnon Ahmad memberikan komen mengenai PAS, beliau ada menyinggung mengenai kehebatan Tuan Guru berkarya. Jarang ada pemimpin hebat yang mampu menghasilkan banyak buku seperti Nik Aziz. Sayangnya kata Shahnon Ahmad, ahli-ahli PAS tidak mengambil manfaat seoptimanya daripada penulisan Nik Aziz. Memanglah...orang-orang PAS amat bersemangat dengan ceramah, hanya sedikit dengan buku, kitab dan kuliah.

Nik Aziz memberikan gambaran sebenar mengenai corak kepimpinan dan pentadbiran Islami kepada non-muslim. Memang dahulu PAS pernah mentadbir Kelantan dan Terengganu, namun rakyat tidak mampu melihat perbezaannya secara jelas. Yalah, jika pemimpin Umno menghisap rokok terang-terangan, kemudian pemimpin PAS pun berbuat perkara yang sama...maka apakah bezanya?

Saya pernah terbaca dan terdengar, bagaimana pengasas Jemaah al-Arqam sendiri adalah ahli PAS yang mufaraqah daripada PAS, kerana sikap pemimpin utama PAS zaman dahulu yang tidak Islami. Sebab itulah, apabila Nik Aziz membawa suatu tauladan unggul, maka Nik Aziz telah meletakkan satu pertunjuk jelas nilai kepimpinan PAS.

Maka selepas itu, setiap pemimpin PAS yang naik menjadi MB atau YB, mereka dibayangi dengan kepimpinan Nik Aziz. Jika Nik Aziz tawadhuk, maka mereka juga wajib tawadhuk. Jika Nik Aziz peramah, maka mereka wajib peramah. Jika Nik Aziz mengajar di kuliah, maka mereka mesti boleh mengajar bukan sekadar berceramah. Jika Nik Aziz isterinya salihah, maka isteri mereka juga mesti salihah.

Demikianlah piawaian baharu yang diletakkan oleh Nik Aziz dalam kepimpinan PAS. Maka, mana-mana pemimpin yang dilihat tidak mencontohi Nik Aziz, mereka akan dilihat tidak Islami. Itulah hebatnya ketokohan Nik Aziz.

Sebab itulah, PAS amat bertuah memiliki sosok sederhana tetapi berwibawa seperti Nik Aziz. Bahkan Pakatan Rakyat juga menumpang tuahnya. Orang Cina dan India bukan Islam, yang dahulu amat takut dengan Islam, kini semakin dekat dengan Islam.

Ketakutan terhadap hudud berganti dengan rasa ingin tahu mengenainya pula. Bahkan, mungkin mereka sendiri gembira jika pemimpin yang ada walaupun berbangsa Cina kuat pegangan agamanya seperti Nik Aziz. Tidak curang dengan keluarga, tidak rasuah dan salah guna kuasa.

Maka, inilah kelebihan yang diberikan Allah kepada Pakatan Rakyat. Saya yakin teramat yakin, selagi mana Nik Aziz masih bernyawa, maka beliau adalah faktor penyatu di dalam Pakatan Rakyat. Maka, semua pihak wajar memanfaatkan Nik Aziz. Bukan sekadar simbol ’Ketuanan Rakyat’ seperti mana Anwar Ibrahim...tetapi juga sebagai ’guru’ yang boleh menyelamatkan dalam bahtera akhirat...amin.

Tuesday, March 3, 2009

1 Raja, 3 Laksamane & Menteri Pasola


Puaslah hati beta

Alkisah, tikar mengkuang terbang milik laksamana Do pun berlepas. “Wahai tiko mengkuang teman yang pande terobang, mike singgah le di negeri perak darul ridzuan…zam-zam…allla kazam!”

Zusss…

Sesampe tige laksamane yang gagoh perkase di negeri berkenaan, amat masghullah mereka. Arakian melihatkan betapa porak perandanya negeri berkenaan. Dahulu, Perak Darul Ridzuan adalah negeri yang permai dan makmur, le ni udah bertuko menjadi negeri yang mamai dan hancur.

“Wahai memanda menteri, cuba mike teropong ke hujung padang sana. Pada firasat beta, seakan-akan ada lembaga yang sedang mengintai-ngintai ke arah kite semua.”

Lalu memanda menteri yang agak botak kepala lagi gelap kulitnya pun meneropong… “Benar tuanku…ada tige orang, gayanye macam oghang luo, deme seakan laksamane Do Re Mi seperti yang pernah tuanku mimpikan dahulu…”

Tidak lama, bertemu dan berlabunlah tiga laksamane dengan memanda menteri dan paduka raja. Dikisahkanlah segala yang berlaku. Angkara jahat Menteri Pasola yang telah merompak dan menggulingkan kerajaan yang ada. Hingga kini, raja dan memanda menterinya pun terpaksa bersidang di ‘bawah pokok’ adanya.

“Tuanku jangan bimbang…sembah Laksamane Re. Ini…teman ada teropong ajaib. Dengan teropong ini, kita boleh mencari di mana Menteri Pasola berada. Kita juga boleh mengetahui apakah kelemahan-kelemahan pada diri Menteri Pasola.”

Maka diteroponglah oleh Laksamane Re. Dilihatnya Menteri Pasola sedang mengudap roti telur cecah sambe sotong…seakan-akan di Karai atau Pekan Manong…eh bukan, bukan Pekan Manong…tapi Pekan Pahang adanya.

Kemudian, dia meneliti apakah kelemahan-kelemahan pada Menteri Pasola. Dia memulas-mulas teropongnya, agak susah juga mencari apa kelemahan Menteri Pasola. Kerana setiap sudut ada sahaja penutupnya. Di sudut kiri ada Sang Musang, di kanan ada Goni Bertahil, di bawah ada Said Pak Porno (namanya dikaitkan dengan anankandanya yang ditangkap sewaktu mengedo cakera porno di Sulaesi Utara), di atas pula ada Tiang Seli Usop 2020…makna kata, keliling-kelalangnya penuh ‘body guard.’

“Ampuan tuanku. Teman udah nampok di mana orang yang menjadi punca segala masalah ini…ya, Menteri Pasola sedang berenak-enak melantak roti telo cecah sardin di Pekan Pahang tuanku…”

Dipendekkan cerita, ketiga-tiga laksamana itu pun berangkatlah lagi dengan tiko mengkuang ke Pekan Pahang. Perjalanan tidaklah begitu senang, memandangkan banyak juga sekatan polis udara anak-anak buah si Musang Hasang...mujo lah si Laksamana Mi mempunyai harmonica ajaib, bila ditiup sahaja, mereka pun ghaib.

Sesampai sahaja mereka di Pekan Pahang, mulalah tiga lakamana cerdik dan gagah itu bermesyuarat. Apakah caranya mengalahkan Menteri Pasola yang ‘biadap’ dan ‘kurang hajar’ itu. Biadap kerana berani melanggar dan memporak-perandakan negeri Perak Darul Ridzuan dan kurang hajar kerana menghina Sultan Perak dengan membiarkan para menteri bersidang di bawah pokok ketapang di tepi padang.

“Wahai pangsi ajaib, che mike kabo ke teman…apakah rahasia kelemahan si Menteri Pasola lahanat ini…Fiiiiung….Jeng…jeng…!”

Maka, dapatlah diketahui akhirnya bahawa, kelemahan Menteri Pasola ini hanya ada satu sahaja…ISTERINYA!

Dan ketiga-tiga laksamana itupun taulah apa tindakan mereka seterusnya….kita cerita lain kali pulak…

Tragedi Perlembagaan Paling Sadis Abad Ini


Tiada istilah yang dapat disebut bagi menjelaskan semua insiden yang terjadi. Kecaman dan kejian sudah lali. Namun semuanya berlegar dalam ruang yang terhad. Tiada media massa meluas buat menyampaikannya kepada denyut nadi setiap pengundi. Semuanya ditapis dan disaring. Apa yang ada hanyalah putar belit keadaan dan berita kepalsuan!


Remuk redam hati saya selaku rakyat Perak, menyaksikan betapa kolotnya pemikiran segelintir manusia yang hitam legam hatinya dan berkarat dengan kedunguan pemikirannya, cuba menafikan kebenaran dengan pembohongan. Terasa betapa hodohnya wajah mereka, walaupun wajah itu cuba diberikan sepuhan indah menerusi wadah media. Hodoh sehingga sukar digambarkan lagi.

Perak Darul Ridzuan, menancap satu lembaran baharu dalam sejarah peradaban moden manusia di Malaysia. Siapa yang menyangka, di sebalik wayang kehebatan dengan pelbagai gelaran dan pangkat kebesaran, tersimpan wajah-wajah kusam penuh dendam yang merosakkan.

Semuanya bermula dengan satu kalimah: Kuasa!

Kuasa, yang dengannya dapat menundukkan manusia lain dan dengannya juga dapat memuaskan nafsu serakah sendiri. Kuasa yang dengannya segala dapat dibeli, dijual dan dinafi. Kuasa yang dengannya menjadikan salah itu betul dan benar itu salah. Kuasa yang dengannya menyumbat orang alim dan baik ke penjara dan penjenayah bebas tanpa dosa!

Inilah kemelutnya. Aduhai…remuk-redam hati kecil saya, melihat perlakuan manusia rakus di Perak. Apakah mereka ini sudah lupa, bahawa negara ini demokrasi, negara ini ada paksinya, undang-undang dan perlembagaan dijadikan pegangan. Sudahlah al-Quran diletak ke tepi, undang-undang yang mereka gubal dan luluskan sendiri, pun mahu dicampak ke tepi.

Apa dosa kami rakyat Perak? Apakah bersalah memilih pemimpin yang kami suka melalui jalan demokrasi. Apakah salah bagi kami rakyat Perak, untuk merasa pemerintah baru di bumi bertuah kami? Apakah salah kami menukar pemerintah lama yang sudah 50 tahun berkuasa tanpa sempadan? Apakah satu dosa kami mempunyai exco yang terdiri daripada bangsa cina; tetapi mereka tidak rakus memonopoli harta?

Apakah salah kami memilih semua ini? Adakah termaktub dalam perlembagaan bahawa seorang speaker boleh diperlekehkan oleh ‘orang suruhannya’. Sudah terbalikah dunia ini? Sudah mahu kiamatkah negeri kami? Apakah negeri yang kami sayangi ini akan hancur luluh menjadi puing-puing sejarah? Adakah seorang anak ‘biadap’ dari Pekan, Pahang akan melenyapkan kedaulatan negeri kami?

Kami rakyat Perak tidak reda dan sekali-kali tidak akan pernah reda. Setiap keringat kami yang gugur bagi memenangkan kerajaan kami, adalah mahal harganya. Ia juga menuntut kami menitiskan air mata bahkan darah merah. Kami berusaha menerusi cara yang halal, menerusi demokrasi, menerusi pilihan raya yang sah dan diiktiraf undang-undang.

Kenapakah, setelah kami rakyat Perak bersatu hati memilih orang yang lebih baik dari ‘gerombolan’ rakus dan ‘penikus’; maka pilihan kami dinafikan. Apakah kami ini rakyat Perak kelas kedua. Apakah kami hanya penumpang di negeri kami sendiri. Apa kami tidak layak bersuara?

Sudah tiba masanya, mari kita solat hajat saban malam. Kita panjatkan doa dalam sujud. Kita adukan kepada Tuhan. Kita mohon pertolongan daripad al-Khalik. Allah adalah wali kita. Setiap yang berlaku, maka kita catatkan tanpa reda. Bahawa kita tetap dengan pendirian. Bahawa Allah tetap bersama orang yang benar. Bahawa kejahatan akan jatuh dan lenyap ditelan bumi.

Marilah, kita kukuhkan hubungan dengan Allah. Pasakkan dalam hati, kemenangan milik orang yang benar. Tanamkan dalam jiwa, kekalahan akan menimpa golongan yang salah.

Biarlah pokok hijau itu menjadi saksi keutuhan kita. Pemimpin yang sejati disokong oleh rakyat yang bersatu hati. Melayu, cina dan India, kami semua adalah rakyat yang sama. Kami tidak akan lari dari medan jihad kami. Ir Nizar pemimpin kami, sampai kami mati.

Biarlah pokok hijau dan hamparan rumput itu menjadi saksi di hadapan Allah. Kami bai’ahkan janji setia. Seperti mana bai’ah rasululullah dan para sahabatnya di sisi Hudaibiyah. Insya-Allah…fajar akan menyinsing esok hari dan kemenangan kita, PR adalah pasti!

Allahuakhbar!

Sunday, March 1, 2009

Ke mana Jawi dan Bahasa Melayu


Zaman saya kecik-kecik, kami masih belajar menggunakan huruf jawi. Di sekolah kebangsaan, kami ada mata pelajaran jawi. Di sekolah agama rakyat pula, semua subjek diajar dalam jawi. Maka, semasa itu pengaruh jawi masih kuat. Kami diasuh agar mahir berjawi dan tidaklah sekadar bersedia untuk dimasukkan ‘jawi’ pada cuti penggal sekolah sahaja.

Jawi begitu berpengaruh dan berperanan dalam masyarakat. Orang-orang tua kami, termasuklah tok, opah, emak dan abah saya, lebih mahir membaca dan menulis jawi berbanding tulisan rumi. Membaca jawi bagi mereka adalah satu kepuasan batini. Rumi pula menyebabkan mereka merangkak-rangkak dan kuranglah sudah nikmatnya. Tulisan jawi pula terlalu klasik, bukanlah seperti hari ini. Saya masih menyimpan kitab-kitab kuning di rumah dan sesekali membukanya. Bila opah datang berkunjung ke rumah saya, maka saya belikan beberapa kita baharu tetapi bertulisan jawi, untuk opah membaca dan mengisi masa lapangnya.

Jika kami ke pekan (Kuala Kangsar, Sauk, Gerik, Lenggong hatta ke Taiping dan Ipoh) pula, papan-papan tanda kedai cina yang bermata sepet itu pun menggunakan tulisan berhuruf jawi, kedai basikal, kedai kopi, kedai buku hatta bank pun menggunakan tulisan jawi…walaupun para apek dan nyonya itu sendiri pun tak pernah ‘masuk jawi’ dan tak merasa ‘dijawikan’ dirinya…hmmm…begitulah besarnya impak jawi kepada rakyat.

Masa itu juga, ada surat habo jawi iaitu Utusan Zaman, ada majalah jawi iaitu Kiblat. Majalah Bujal yang emak suka belikan itu pun ada kartun jawi. Buku-buku jawi pun senang dicari.

Bila dah besar, semua itu dah hilang sedikit demi sedikit. Jangan kata budak-budak kerja kilang je dah tak mandang semua tulisan jawi ni, budak-budak yang lepas sekolah agama dan keroje di jabatan agama pun dah kurang minat dengan jawi. Bahkan, ada yang baca khutbah Jumaat pun lebih suka guna tulisan rumi walaupun deme tu asalnya berpendidikan arab!

Inilah padahnya bila pihak yang berwajib memandang enteng sesuatu perkara. Dalam hal ini, takkan nak salahkan kerajaan pimpinan Robert Mugabe di Zimbabwe atau mantan PM Britain Margaret Tatcher? Tak kan nak belasah mantan pemerintahan Iraq Kerajaan Parti Ba’ath Saddam Hussein atau Parti Nazi pimpinan Adolf Hitler di German? Atau nak salahkan Lee Kuan Yiew di Singapura! Habis…salah siapa?

Yang inilah…pemuda-pemuda Umno tak sedarkan diri. Mengaku Melayu tapi lupa asal-usul dan lupa jati diri. Tak sedar darah yang dok mengalir itu adalah darah Melayu yang makan petai, genuak, jering, belacan, budu dan pekasam. Biar pun mereka sembur parfum berbotol-botol, emak atau tok nenek mereka dulu lumur bedak sejuk juga ke muka. Maknanya, mereka kena kenai asal-usul diri mereka sendiri.

Sungguh pun mereka le ni berbahasa orang putih lebih dahsyat daripada orang putih, tapi depa jangan lupa yang tok nenek depa la dulu kena belasah dengan orang putih. Memang la kita tak musuh bahasanya, tapi jangan la dok bangga sangat. Sedar la diri sikit, darah Tok Janggut, Tok Bahaman, Mat Kilau dan Datuk Maharajalela yang tumpah ke bumi adalah kerana menghalau penjajah orang putih itulah.

Apabila orang Melayu sendiri sudah melupai asal-usul diri mereka, maka mereka akan jadi penyangak bangsa. Mereka senang-senang sahaja melabelkan orang yang tak sealiran dengan mereka sebagai musuh kemajuan dan anti-pambangunan. Ni ha…dalam isu bahasa, siapa yang tak setuju dengan idea mereka, senang-senang sahaja dianggap tidak tahu menghargai pembangunan negara…alah, setakat pandai bahasa Inggeris tapi dok berbohong menipu sana-sini nak buat hapa!

Kita ni umat Melayu sepatutnya banggalah dengan bahasa Melayu. Bahasa Melayu adalah lingua franca di alam ini suatu masa dahulu. Bahkan bahasa ini dianggap antara bahasa paling berpengaruh di dunia. Dari nusantara membawa ke Afrika ada orang yang berbahasa Melayu. Maknanya, dari sudut penutur, ramai tak terkira.

Apa yang penting, ialah kesungguhan menuntut ilmu. Cuba tengak Jepun, German, Peranchis hatta Iran dan Korea Selatan, mereka amat teruja dan patriotic dengan bahasa ibunda mereka dan mereka berjaya membawa arus kemajuan dengannya. Jurutera Jepun di Perodua tidak akan bertutur dalam bahasa Inggeris bahkan kita yang kena bercakap Jepun dengan mereka, demikianlah pengalaman kawan-kawan saya yang pernah berkerja di Perodua.

Jadi, pejuang-pejuang tulen Umno kena muhasabah diri. Jangan terlalu taksub dengan pimpinan atasan yang ‘bodo-sombong’ itu hingga lupa asas perjuangan anda. Jangan hanya kerana projek dan tender, anda sanggup melihat anak-anak anda sendiri bodo matematik dan sains. Akhirnya, anda juga yang rugi. Tapi, bila dikenang-kenang balik, Umno sanggup rugi masa depan, asalkan hari ini depa untung sekupang!

Catatan: Kata Tan Sri Ismail Hussein, PPMSI bukanlah cara yang ‘adil’ untuk memajukan anak-anak Melayu, khususnya di luar Bandar. Harus ada cara lain untuk membantu.

Tapi kata Hishamudin Hussin apabila diajak Salahudin Ayub berdebat: “Apa debat-debat. PPMSI berjalan dengan lancar. Tidak ada masalah!” Moralnya...siapa yang bermasalah di sini? Ha...jawaplah!

Sunday, February 15, 2009

I guest u're oxfordian and u're Umno's MP...mua ha...ha...


A farmer named Lakbir Singh was overseeing his herd in a remote pasture in Bolehland when suddenly a brand-new BMW advanced out of a dust cloud towards him.

The driver, a young Malay man in an Armani suit, Gucci shoes, RayBan sunglasses and YSL tie, leans out the window and asks the farmer, "If I tell you exactly how many cows and calves you have in your herd, will you give me a calf?"

Lakbir looks at the man, obviously a yuppie, then looks at his peacefully grazing herd and calmly answers, "Sure, why not?"

The yuppie parks his car, whips out his Dell notebook computer, connects it to his Cingular RAZR V3 cell phone, and surfs to a NASA page on the Internet, where he calls up a GPS satellite to get an exact fix on his location which he then feeds to another NASA satellite that scans the area in an ultra-high-resolution photo.

The young man then opens the digital photo in Adobe Photoshop and exports it to an image processing facility in Hamburg, Germany.

Within mere seconds, he receives an email on his Palm Pilot that the image has been processed and the data is stored.He then accesses a MS-SQL database through an ODBC connected Excel spreadsheet with email on his Blackberry and, after a few minutes, receives a response.

Finally, he prints out a full-colour, 150-page report on his hi-tech, miniaturized HP LaserJet printer and finally turns to the farmer and says, "You have exactly 1,586 cows and calves."

"That's right.Well, I guess you can take one of my calves," says Lakbir.

He watches the young man select one of the animals and looks on amused as the young man stuffs it into the trunk of his car.

Then Lakbir says to the young man, "Hey, if I can tell you exactly what your business is, will you give me back my calf?"

The young man thinks about it for a second and then says, "Okay, why not?"

"You're a graduate from Oxford and a Member of Parliament for Umno," says Lakbir.

"Wow! That's correct," exclaims the yuppie with the customary Umno's Wow Factor, "But how did you guess that?"

"No guessing required," answered Lakbir.

"You showed up here even though nobody called you, you want to get paid for an answer I already knew, and to a question I never asked.You tried to show me how much smarter you are, and you don't know a thing about cows.This is a herd of sheep...

Now give me back my dog."