Friday, February 27, 2009

Erti penyerahan diri manusia kepada Allah SWT


Apabila kita sudah melafazkan kalimah tayyibah, iaitu dua kalimah syahadah, maka kita sudah menjadi seorang muslim. Maknanya, kita berikrar dan berjanji untuk menyerahkan diri kepada Allah SWT. We dare to surrender ourselves to Allah SWT. Therefore, kita akan menanggung segala buruk dan baik selepas penyerahan diri itu.

Inilah pun hakikatnya orang yang menyerah diri. Saya pernah bersembang dengan tok sedara saya yang menjadi British Army berpangkat Sarjan Mejar. Katanya, semasa British menyerah kalah, mereka pun ikut sekali menyerah kepada Jepun. Maka, itulah sebabnya Jepun boleh bertindak apa-apa sahaja kepada tentera tawanan. Hingga ramai yang keok di Burma semasa membina landasan keretapi.

Dalam sejarah zaman Nabi Muhammad SAW pun, apabila tentera musuh yang kafir itu kalah di medan perang, maka mereka menjadi tawanan dan mereka tertakluk kepada pihak yang menang. Itulah akhirnya, ada yang diberikan peluang menebus diri, menjadi muslim ataupun memberi khidmat kepada umat Islam sebagai mahar pembebasan.

Apa yang saya nak sebut, umat Islam hari ini majoritinya tidak sedar bahawa mereka apabila sudah mengucapkan dua kalimah syahadah, maka mereka tertakluk kepada peraturan penyerahan diri kepada Allah SWT. Maka, segala perjalanan diri WAJIB tertakluk kepada peraturan dan kaedah yang Allah SWT tetapkan. Tidak bolehlah memandai-mandai maknanya.

Malangnya, umat Islam yang ada ramai hari ini namanya sahaja menyerah diri kepada Allah; hakikatnya mereka melawan Allah SWT. Apa yang diperintahkan Allah, dan perintah itu sesuai dengan ‘perut’ mereka, maka all will be proceed. Tapi jika mereka tak setuju, kerana perut mereka tak boleh terima, maka mereka akan reject arahan Allah SWT.

Itulah kebejatan paling dahsyat zaman ini. Malangnya juga, yang menjuarai penolakan itu adalah terdiri daripada kalangan pemimpin Islam.

Semasa menghadiri satu pengkebumian baru-baru ini, pak imam yang membaca talqin mengingatkan si mati bahawa, Allah SWT itu Tuhan, Muhammad SAW itulah rasul ikutan, Al-Quran itulah panduan dan pedoman...saya terkerising dalam hati, hakikatnya talqin itu bukan untuk si mati tetapi untuk yang masih ada denyutan nadi...bahawa pesanan itu untuk diikuti oleh yang masih hidup supaya tidak kelak dibelasah di dalam kubur oleh dua malaikat Allah!

Cuba kita renung-renung, bolehkah majoriti umat Islam hari ini mengakui Allah SWT itu Tuhan mereka, kerana banyak perkara yang Allah arahkan, mereka tolak ketepi. Jika pada zaman Jepun, alamat kena tempeleng dan minum air sabunlah. Itu lebih bernasib baik daripada dipancung! Sudah namanya orang tawanan...once u surrendered, u’ve to follow any order given!

Bagaimanakah pemimpin yang engkar sunnah nabi, misalnya merampas kuasa secara bohong dan palsu, mahu mengaku Muhammad bin Abdullah SAW itu pemimpinnya. Apa yang nabi tunjuk, mereka engkari. Nabi suruh berkata benar; tetapi mereka suka mengonar. Nabi suruh amanah; tapi mereka suka pecah dan perintah. Nabi suruh selesai masalah cara bijaksana; tapi mereka langgar ikut suka. Tak dengar arahan mereka, tangkap dan bawa ke mahkamah!

Bagaimana pula pemimpin yang rasuah dan seleweng amanah rakyat nak mengaku jadikan al-Quran itu pedoman. Bukankah al-Quran sebut, orang beriman kena bertolong-bantu buat kebaikan dan cegah keburukan. Tapi mereka buat yang sebaliknya. Bagaimana mungkin mereka mengaku mereka mengikut al-Quran. Kata orang putih...they’re nonsense!

Saya hanya mahu menyatakan, kembalilah kepada Allah dan Rasul. Tak kira siapalah, orang biasa yang menoreh getah, para YB dan penjawat awam, MB dan pak menteri waima sultan dan agung. Semuanya tertakluk kepada akta, enakmen dan peraturan yang sama di sisi Allah. Semuanya kena patuh kepada arahan Rasulullah. Semuanya kena ikut kata Al-Quran dan as-Sunnah.

Saya lihat kepada mayat yang diturunkan ke liang lahad. Hanya dibungkus kemas di dalam kain putih. Kemudian dikambus sebelum ditinggalkan pergi. Saya terfikir, pak menteri hatta sultan atau MB, jika mati maka itu jugalah pakaian rasmi mereka. Darjah kebesaran dan pakaian mahal akan ditinggalkan. Maka, apalah sangatnya mereka merasa begitu besar kepala untuk tidak patuh kepada Allah SWT?

Pengajarannya, kemelut dan kekacauan di dunia ini berlaku lantaran sikap umat manusia yang sudah mengaku tunduk kepada Allah tetapi akhirnya enggan patuh dan melawan kata-kata Allah. Andai mereka ini pemimpin negara, maka mereka turut menanggung dosa rakyatnya.

Tapi, mereka orang-orang besar ini jarang yang mahu sedar daripada kesilapan. Mereka tahu kematian dan akhirat itu ada; tetapi itu semua hanya pemanis di bibir sahaja. Mereka percaya tetapi macam tak percaya. Sebabnya, merekalah punca segalanya. Jika tidak, ubahlah sekarang. Selagi kuasa masih ada, sebelum terlambat dan malaikat maut sudah di depan. Saat itu...ucapkanlah sayonara kepada segala harapan!!!

No comments:

Post a Comment