Wednesday, February 25, 2009

Isu Bahasa, antara sejarah, kini dan masa depan...di mana kita?


Isu bahasa adalah amat sensitif. Ia adalah cerminan jiwa bangsa. Teringat saya kata-kata Tan Sri P. Ramlee…Bahasa jiwa bangsa, bahasa melambangkan bangsa.

Entah bagaimana, saya ditakdirkan Allah SWT lahir berbangsa Melayu. Sedari kecil hingga dewasa, saya bertutur dalam bahasa Melayu. Memang saya juga boleh sedikit-sedikit bertutur dalam bahasa Inggeris dan Arab, namun Melayu tetap menjadi nilai jati diri saya.

Semasa di sekolah rendah, saya belajar Ilmu Hisab, Ilmu Alam, Sejarah, Ilmu Sains dan sebagainya lagi. Apabila meningkat sedikit remaja, mata pelajaran itu telah ditukar namanya. Kini saya mempelajari matematik, sains awalan dan sains paduan, geografi dan sebagainya. Nampak…pengaruh bahasa asing sudah menjalar masuk ke dalam bahasa Melayu.

Namun, semakin remaja dan tabiat rajin membaca memberikan saya pendedahan lebih luas mengenai bahasa. Sungguh pun saya belajar di aliran sains, namun jiwa bahasa dan sastera Melayu masih menebal. Saya suka menemui perkataan-perkataan baharu. Sungguh…bahasa Melayu tidaklah tohor perbendaharaannya. Bahkan bahasa Melayu adalah antara bahasa yang amat mudah menerima pembaharuan dan penambahan.

Semasa di pendidikan tinggi, saya berjumpa pelbagai perkataan baharu yang asalnya jelas diambil daripada bahasa asing, sama ada Arab mahu pun Inggeris. Bahasa Arab sahaja telah memberikan nyawa kepada ribuan perkataan untuk bahasa Melayu. Ilmu, kalam, ghaib, niat, syukur, kitab, majlis dan sebagainya adalah berasal daripada bahasa Arab. Manakala bagi bahasa Inggeris pula, perkataan baharu seperti motivasi, intimidasi, inovasi dan sebagainya lagi yang ada ‘si’ di hujungnya, banyak diambil daripada bahasa Inggeris.

Nah! Demikianlah fleksibelnya (juga daripada flexible) bahasa Melayu. Bahasa-bahasa asing lain dengan mudah mampu meresap masuk. Dan saya melihat ia adalah kekuatan bahasa Melayu, bahawa ia adalah bahasa yang mampu berkembang dan tidak statik membeku.

Sesungguhnya juga bahasa Melayu juga kaya daripada aspek seni dan sasteranya. Pantun, sajak, gurindam, seloka dan sebagainya adalah bentuk puisi yang mengasyikkan. Manakala prosanya pula ditandai dengan cerpen dan novel yang pelbagai. Kewujudan pelbagai genre sastera seperti drama, cerpen, novel mahu pun esei kritikan menjadikan dunia sastera Melayu matang dan berkembang. Ini menandakan hebatnya bahasa Melayu.

Begitu juga, kesungguhan beberapa organisasi pemerkasa bahasa Melayu seperti Dewan Bahasa dan Pustaka juga Universiti Kebangsaan Malaysia, yang memang asal penubuhannya adalah untuk memperkasakan bahasa Melayu, telah memberikan harapan cerah kepada bahasa ini. Pelbagai bidang ilmu moden, seperti kejuruteraan, perubatan dan sebagainya mulai diwarnai dengan buku-buku berbahasa Melayu. Nampaknya, bahasa Melayu kian mendapat tempat yang istimewa.

Sayang seribu kali saying…segala kesungguhan kea rah memartabatkan bahasa Melayu mulai diregut secara kasar oleh Kerajaan Barisan Nasional. Atas nama mengejar permodenan dan kemajuan, maka bahasa Melayu makin dipinggirkan. Ia tidak lagi mendapat tempatnya yang sewajarnya, sebaliknya cuba disisih dan disimpan di dalam arkib sejarah. Ia hanya bahasa nostalgia. Bahasa murahan di dalam Dewan Sastera dan Budaya, tidak cocok membicarakan ilmu angkasa raya dan nuclear juga nano teknologi misalnya.

Maka, makin lama bahasa Melayu makin lemah. Anak-anak Melayu yang cerdik tidak lagi diasuh pemikirannya dengan prosa dan puisi yang halus mulus. Tinggallah mereka yang kurang cerdik mengulit naskhah A. Samad Said dan Shahnon Ahmad. Atau tunggang-terbalik mengkaji puisi Melayu yang dianggap tiada langsung masa hadapannya.

Salah siapakah semua ini? Panjangnya penulisan...sedang A. Samad Said sudah menyatakan...tindakan tidak bertanggungjawab dan jauh daripada hemah inilah kelak yang akan menggelapkan anak bangsa.

Katanya..."Saya sanggup dengan rela diri sekiranya ada orang ingin menarik balik gelaran Sasterawan Negara asalkan bahasa ibunda saya dikekalkan. Tiada gunanya gelaran tersebut kerana ia bukannya milik kekal dan saya adalah 'Sasterawan Rakyat' yang akan terus berjuang demi anak cucu bangsa Melayu. Saya bimbang sekiranya kita tiada nanti, anak cucu kita akan hairan apakah bahasa ibunda mereka nanti."

2 comments:

  1. Afiffudin,

    Steady...kita boleh bertutur banyak bahasa; tapi kita hanya ada satu bahasa ibunda...saya suka bahasa asing; tetapi saya tak mahu melihat bahasa Melayu jadi terasing di buminya sendiri...

    ReplyDelete